GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

BELI sekarang bayar kemudian (BNPL) ialah pilihan pembiayaan jangka pendek yang membolehkan pelanggan membeli produk dan bayar kemudian dengan kadar faedah sifar atau rendah.

Jadual pembayaran balik bergantung kepada syarat yang ditawarkan oleh penyedia BNPL, tetapi biasanya ia termasuk pembayaran penuh pada penghujung bulan, bayar tiga kali (pembayaran sama rata untuk tempoh tiga bulan) atau bayar empat kali (bayaran setiap dua minggu).

Menurut laporan Mambu & Deloitte mengenai BNPL, kaedah berkenaan semakin mendapat perhatian pengguna dengan pandemik mempercepatkan penghijrahan daripada pembeli dalam talian yang mewujudkan ledakan e-dagang.

Pelanggan ketika ini menuntut pengalaman lebih besar dan peribadi sehingga mewujudkan peluang besar untuk pilihan pembayaran digital baharu.

Memandangkan potensi kebolehcapaian dan kemampuannya, BNPL mampu muncul sebagai pesaing kuat kepada pinjaman tradisi dan ancaman kepada kad kredit.

Pengguna memilih BNPL berbanding kaedah pembayaran tradisional seperti kad kredit kerana ia lebih mudah di mana 29 peratus pengguna memilih BNPL atas faktor berkenaan.

Selain itu, BNPL menawarkan kebolehcapaian dan pilihan di mana 56 peratus pengguna menyatakan kemungkinan untuk menguji produk sebelum membuat pembayaran sebagai alasan utama menggunakan BNPL.

Menurut laporan berkenaan, penggunaan BNPL berkembang dengan mantap merentas Gen-Z, milenial dan Gen-X.

Kadar penggunaan tertinggi dilihat dalam kalangan segmen lebih muda meliputi fesyen, teknologi, dan kesihatan serta kecantikan dengan kadar perbelanjaan purata AS$100 hingga AS$130.

Selain kelebihan buat pengguna, BNPL juga memberi kesan positif kepada perniagaan.

Perniagaan mencatatkan pertumbuhan dari aspek penukaran jualan dan saiz bakul di mana kajian menunjukkan peningkatan 30 hingga 50 peratus dalam nilai pesanan purata (AOV) dan peningkatan 20 hingga 30 peratus dalam penukaran jualan sekiranya menawarkan kaedah BNPL.

Berdasarkan data oleh Worldpay, BNPL mewakili 2.9 peratus daripada transaksi e-dagang global pada 2020 dengan penggunaan lebih tinggi di pasaran yang sudah matang.

Penguasaan pasaran dijangka mencapai 5.3 peratus pada 2025.

Ketika ini, penggunaan BNPL lebih mudah disaksikan di Sweden dengan 25 peratus kadar penembusan diikuti Jerman (20 peratus).

Berdasarkan momentum yang ditunjukkan BNPL, bank mungkin ketinggalan sekiranya tidak membuat sebarang tindakan.

Kajian menunjukkan fintech BNPL sudah mengalihkan antara AS$8 bilion hingga AS$10 bilion perolehan tahunan daripada bank.

Bagaimanapun, keadaan berkenaan boleh dielakkan sekiranya bank menawarkan kaedah BNPL memandangkan 70 peratus pengguna BNPL berminat menggunakan kaedah itu sekiranya ditawarkan bank mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 7:00 AM