Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz (tengah) bersama panel jemputan pada Majlis MTC CEO Summit 2022. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz (tengah) bersama panel jemputan pada Majlis MTC CEO Summit 2022. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) akan terus menyumbang kepada hasil eksport Malaysia serta mencapai prestasi lebih baik melepasi RM1.29 trilion eksport negara bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya , Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, pendapatan eksport bagi syarikat pertengahan (MTC) juga meningkat dua angka iaitu 15.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, dari segi impak sosio-ekonomi, lebih 4,000 pekerjaan baharu telah diwujudkan, termasuk pekerjaan mahir seperti jurutera dan jawatan teknikal yang menunjukkan satu lagi bukti kejayaan yang jelas buat MTCDP.

"MTC juga penting dalam membangunkan rantaian bekalan domestik yang kompetitif, di mana 75 peratus atau lebih daripada 7,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbabit dalam rantaian bekalan eksport MTC.

"Mengenai unjuran eksport, saya optimis Malaysia akan terus mengekalkan momentum memberangsangkan tahun ini kira-kira RM1.3 trilion (Januari ke Oktober 2022), ini bermakna kalau kita mengambil puratanya sebanyak RM130 bilion sebulan, tidak mustahil kita boleh mencapai sasaran Matrade iaitu RM1.5 trilion.

"Maka sudah pasti ia disumbangkan juga oleh MTC ini yang mana mereka telah pun lama menceburi bidang eksport dengan menggunakan platform yang sesuai dan menceburi pasaran baru," katanya kepada media di majlis MTC CEO Summit 2022 di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata pendekatan mempelopori pasaran di negara perdagangan baru juga penting untuk memastikan negara mengukuhkan prestasi eksport menjelang tahun depan biarpun berdepan dengan jangkaan kemelesetan ekonomi dunia.

Menurutnya, MTC juga berjaya menembusi pasaran Mongolia dan Matrade menjangkakan lebih banyak kolabrasi dengan pasaran baru akan dilaksanakan tahun depan antaranya di negara Asean serta Afrika seperti Ghana, Uganda dan Kenya.

"Kita jangan melupakan pasaran di negara ini juga penting kerana mereka mempercayai produk Malaysia dan memandangkan China masih menutup sempadan mereka, peluang meneroka pasaran di negara ini perlu dimanfaatkan," katanya.

Prestasi MTC dan impaknya kepada ekonomi Malaysia begitu memberangsangkan apabila bagi tempoh 2020 hingga 2021 (semasa pandemik), MTC yang telah mengambil bahagian dalam MTCDP berjaya mencatatkan hasil tahunan terkumpul sebanyak RM33.2 bilion, di mana 54 peratus (atau RM17.8 bilion) daripada perolehan diperoleh daripada aktiviti eksport.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 3:36 PM