Sepang: MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang memulakan penerbangan sulungnya hari ini, menyasar mampu mencapai 85 peratus faktor muatan secara purata menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo, berkata ketika ini secara purata syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) baharu Malaysia itu mencapai di antara 70 hingga 80 peratus faktor muatan.

"Kami gembira untuk berkongsi yang kami berjaya mencapai faktor muatan menggalakkan biarpun mempunyai tempoh singkat untuk membuat jualan tiket.

"Pada pagi ini, penerbangan kami ke Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing mencecah 80 peratus faktor muatan, namun faktor muatan bagi penerbangan ke Langkawi sedikit rendah, iaitu pada 70 peratus.

"Sama seperti penerbangan lain, kami perlu bekerja keras untuk memastikan perniagaan berjalan lancar, maka kami menyasarkan mencapai 85 peratus faktor muatan secara purata dalam penerbangan kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah MYAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Pesawat MYAirline yang berlepas ke Langkawi pada majlis pelepasan penerbangan sulung syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) baharu Malaysia di terminal Klia2, Sepang. - FOTO Aizuddin Saad
Pesawat MYAirline yang berlepas ke Langkawi pada majlis pelepasan penerbangan sulung syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) baharu Malaysia di terminal Klia2, Sepang. - FOTO Aizuddin Saad

MYAirline memulakan penerbangan sulung ke tiga destinasi, iaitu ke Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi.

Bermula 2 Disember 2022, MYAirline akan menambah kekerapan penerbangan ke Langkawi kepada dua penerbangan harian, manakala kekerapan penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu akan ditingkatkan kepada tiga kali sehari mulai 23 Disember 2022.

Laluan itu akan dikendalikan pesawat Airbus A320-200 dengan 180 tempat duduk dalam kabin kelas tunggal.

Mengenai harga promosi ditawarkan syarikat penerbangan itu, Rayner berkata, sama seperti syarikat penerbangan lain dari segi menguruskan harga tiket, akan ada fare bucket (harga mengikut kategori) bermula dari yang terendah.

"Harga ini kami perkenalkan sejak lima, enam hari lalu seperti tiket sehala ke Langkawi dari RM48; Kuching (RM68) dan Kota Kinabalu (RM88).

"Harga akan meningkat sebaik peruntukan untuk harga terendah habis terjual," katanya.

Pengarah MYAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menyampaikan sumbangan cenderahati kepada penumpang yang berlepas ke Langkawi. - FOTO Aizuddin Saad
Pengarah MYAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman menyampaikan sumbangan cenderahati kepada penumpang yang berlepas ke Langkawi. - FOTO Aizuddin Saad

Beliau berkata, operasi penerbangan pada hari pertama berjalan lancar.

"Jika ada pun membabitkan insiden seorang penumpang tersalah memasuki pintu untuk ke penerbangan Kota Kinabalu, sedangkan beliau mahu ke Kuching.

"Kami berjaya membantu penumpang ini untuk menaiki penerbangannya," katanya.

Raymond berkata, pihaknya merancang untuk menambah tiga lagi laluan domestik baharu tahun ini iaitu ke Kota Bharu, Pulau Pinang dan Sibu.

"Laluan lain dalam perancangan adalah antaranya ke Tawau, Miri, Alor Setar, Terengganu selepas mendapat kelulusan pengawal selia.

"Bagi laluan antarabangsa, kami menyasarkan bermula pada suku pertama 2023 dengan meninjau untuk terbang ke pasaran serantau terlebih dahulu seperti Singapura, Indonesia dan Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 4:10 PM