Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo. - FOTO NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo. - FOTO NSTP
BERNAMA

Petaling Jaya: MyAirline, syarikat penerbangan tambang rendah baharu Malaysia, optimis namun berhati-hati akan mencapai pertumbuhan positif pada tahun pertama operasinya.

Berlandaskan saranan jualan unik (USP), syarikat penerbangan 'merah baharu' itu menyasar untuk menempatkan kedudukannya dalam pasaran tambang rendah dengan memperkenalkan uniform anak kapal neutral jantina, tempat duduk ergonomik baharu, amalan hijau manual digital untuk juruterbang serta hidangan dalam penerbangan 'MyKopitiam'.

Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Sdn Bhd, Rayner Teo berkata pihaknya berusaha untuk berada pada kedudukan positif dari segi tunai mulai tahun pertama.

"Kami juga menyedari banyak cabaran di hadapan namun berasaskan formula strategi pasaran yang kukuh dan mengekalkannya di landasan, kami amat berharap dapat mencatatkan tunai positif," katanya pada sesi meja bulat media pertama MYAirline di ibu pejabatnya di Subang Jaya, dekat sini, pada Rabu.

Beliau berkata secara purata, syarikat penerbangan itu telah mencapai faktor muatan yang baik iaitu 70 peratus berdasarkan minggu pertama pembukaan jualan tiket, memandangkan tempoh pengehadan sejak ia bermula pada 25 November lepas.

MYAirline yang beroperasi menggunakan kumpulan pesawat Airbus A320-200, akan melancarkan penerbangan pertamanya pada 1 Disember ke Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi dari klia2.

Syarikat penerbangan ini juga dijangka terbang ke Kota Bharu, Pulau Pinang dan Sibu pada bulan yang sama dan kini masih menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

Teo berkata selain mengembangkan destinasi domestik, MYAirline juga meninjau pasaran di Asia Tenggara iaitu Singapura, Bali, Bangkok dan lain-lain, paling cepat pada suku pertama 2023.

"Kami akan mula terbang ke negara yang mesra dan mudah bagi kami...dalam tempoh penerbangan empat jam," katanya.

Pada masa ini, MYAirline mempunyai hampir 500 pekerja termasuk kira-kira 60 juruterbang.

Ia juga sentiasa mengemaskinikan tawarannya menerusi laman web dan aplikasi mudah alih.

Mengulas mengenai USP, Teo berkata MYAirline akan menjadi pihak pertama yang menggunakan tempat duduk ergonomik yang ringan, mesra alam sekitar dan 'pre-reclined' (tidak boleh ubah), yang menjimatkan sehingga 900 kilogram berat pesawat.

Tempat duduk 'pre-reclined' adalah tempat duduk tetap yang penumpang tidak boleh ubah atau sesuaikan. Tempat duduk ini tidak memaksa penumpang untuk duduk tegak sepenuhnya dan ia juga tidak membenarkan penumpang bersandar sejauh yang mahu.

Anak kapal MYAirline juga akan menjadi orang pertama di negara ini yang memakai pakaian seragam neutral jantina dengan 'hoodie' dan seluar panjang serta dipadankan dengan kasut sniker, yang memberikan keselesaan maksimum kepada mereka.

Bagi penumpang, mereka diberikan elaun bagasi kabin tujuh kilogram, hidangan panas dan makanan seperti nasi lemak, mi goreng, roti jala, Jjajangmyeon Korea dan banyak lagi tambahan pada masa hadapan.

Syarikat penerbangan itu menggunakan teknologi inovatif dan hijau dalam produk dan perkhidmatannya untuk memastikan proses yang mudah dan lancar untuk penumpang.

-- BERNAMA

TAG: MYAirline, Rayner Teo, pertumbuhan, USP, tambah rendah, Rayner Teo, meja bulat media

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 5:45 PM