BANK Islam turut meningkatkan sokongan terhadap segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS). FOTO Arkib NSTP
BANK Islam turut meningkatkan sokongan terhadap segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS). FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kumpulan BIMB Holdings Berhad (BHB) mencatatkan peningkatan 6.6 peratus keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) kepada RM612.2 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (1H21).

Keuntungan bersih juga meningkat sebanyak 6.8 peratus ke RM387.1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Mohd Muazzam Mohamed berkata, ketika dunia memerangi pandemik, kumpulan terus menumpukan perhatiannya untuk menerapkan prinsip syariah, pengantaraan berasaskan nilai (VBI) dan pertimbangan persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik (ESG) untuk kekal berdaya tahan dan mempromosikan rangkuman kewangan untuk semua.

"Bank Islam terus membantu komuniti dengan memberikan impak positif kepada kehidupan dan kelangsungan hidup serta memenuhi keperluan mereka.

"Kami menawarkan program Bantuan Pembayaran kepada pelanggan untuk membantu mereka menguruskan aliran tunai dengan lebih baik dalam tempoh mencabar ini.

"Kami juga menaikkan program pembiayaan mikro iTekad dan BangKIT mampu milik yang semakin berkembang serta turut menawarkan penyelesaian inovatif lain untuk menjana impak lebih signifikan kepada kumpulan sasar kurang berkemampuan dan tidak mendapat khidmat perbankan melalui cabang kewangan sosial kami," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bermula di Kuala Lumpur, program iTekad yang kini diperluas ke Perlis dan Selangor memberi manfaat kepada 98 pelanggan dengan jumlah pembiayaan hampir RM1.8 juta setakat 31 Julai 2021.

Manakala bagi Pembiayaan Mikro BangKIT pula, Bank meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.01 juta kepada 95 pelanggan sejak pelancarannya pada 25 November 2020.

Menurutnya, dalam usaha membantu masyarakat, Bank Islam juga menggandakan inisiatif tanggungjawab korporatnya melalui AMAL.

Di samping itu, Sadaqa House Bank Islam terus memainkan peranannya dalam menguruskan dana sumbangan orang ramai dan memberikan sokongan yang diperlukan untuk segmen sasaran melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Selaras dengan pencapaian kewangan yang positif, pada akhir Jun 2021, Bank Islam mengeluarkan dan menyalurkan sumbangan hampir RM4 juta kepada lebih daripada 11,000 individu dan organisasi melalui pelbagai inisiatif, termasuk pengagihan dana Sadaqa House kepada penerima di bawah empat sektor fokus, iaitu pendidikan, kesihatan, pemerkasaan masyarakat dan alam sekitar.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam turut meningkatkan sokongan terhadap segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat besar lain melalui program pembiayaan dan pembangunan vendor.

Pada Jun 2021, Bank Islam bekerjasama dengan Halal Development Corporation Berhad (HDC) untuk menawarkan Pembiayaan PKS GO Halal (Go Halal Fund) dengan peruntukan awal sebanyak RM100 juta.

"Kemudahan ini akan membantu PKS dengan lebih teratur dan berstruktur, justeru meningkatkan pembangunan kapasiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:00 AM