SEBAHAGIAN pelanggan  mengunjungi cawangan pertama Tealive di Ottawa, Kanada.
SEBAHAGIAN pelanggan mengunjungi cawangan pertama Tealive di Ottawa, Kanada.

Kuala Lumpur: Tealive kini berada di Amerika Utara menerusi kedai pertama di pusat bandar Ottawa, Kanada dan merancang untuk membuka 50 cawangan lagi di seluruh negara itu dalam tempoh lima tahun.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, Tealive memberi tumpuan untuk berkembang di Asia Tenggara dan tidak menyasarkan Amerika Utara secara khusus sehingga sebuah kumpulan perniagaan terkemuka yang menjalankan perniagaan pastri dan kedai roti menemui pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya yakin rakan kongsi tempatan pilihan mereka di Kanada akan menjadi padanan yang sesuai kerana mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam segmen makanan dan minuman.

"Rakan kongsi tersebut komited untuk membuka 50 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh Kanada.

"Kemasukan di Kanada ini dan pengembangan yang dirancang di seluruh negara itu akan memberikan peluang kepada kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pasaran Amerika Utara secara dekat. Oleh itu, pada masa akan datang, kami mungkin turut meneroka pasaran Amerika Syarikat (AS) yang menguntungkan," katanya dalam kenyataan.

Loo berkata, Tealive mempunyai pelbagai jenis minuman dalam portfolionya dan kini menawarkan makanan melalui Tealive Eats.

"Menu pelancaran Kanada kami sememangnya inovatif dan menarik dengan minuman dan makanan yang disediakan untuk selera tempatan tanpa menjejaskan pengalaman unik Tealive breakthrough kami," katanya.

Beliau berkata, pembukaan kedai di kawasan komersial Somerset Street minggu lepas dibanjiri oleh peminat boba.

Beliau yakin dengan potensi pasaran global bubble tea dan mahu menjadikan Loob bersedia untuk mengharungi gelombang seterusnya.

Menurut firma penyelidikan pasaran terkemuka, Facts and Factors, saiz Pasaran Global Bubble Tea bernilai kira-kira AS$2.1 bilion pada 2020 dan dianggarkan meningkat kepada AS$4.5 bilion menjelang 2026, pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 8.1 peratus di antara 2021 dengan 2026, katanya.

"Tealive dikenali sebagai jenama yang 'Lahir di Malaysia, Dibesarkan untuk Dunia'. Hari ini, kami mengucapkan terima kasih kepada berjuta-juta pelanggan kami di 10 negara, kerana dengan sokongan mereka, kami benar-benar global dengan kehadiran di lima benua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 7:01 AM