TENGKU Ahmad Badli Shah (kanan) pada sesi taklimat kepada penggiat seni.
TENGKU Ahmad Badli Shah (kanan) pada sesi taklimat kepada penggiat seni.

AGROBANK sedia membantu penggiat seni untuk merancakkan lagi perniagaan mereka menerusi pelbagai penawaran produk pembiayaan dan perkhidmatan yang menarik termasuklah sesi perkongsian ilmu tadbir urus perniagaan dan kewangan, penyediaan kertas kerja perniagaan serta penjenamaan produk bagi merancakkan lagi perniagaan sedia ada mereka.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank amat berbesar hati untuk turut sama membantu pengiat seni tanah air merancakkan lagi perniagaan mereka dengan pelbagai program pembiayaan dan inisiatif yang bersesuaian dan menarik, sekali gus merancakkan lagi sektor pertanian dan agromakanan negara.

"Melalui sesi taklimat bersama Agrobank yang berlangsung selama hampir tiga jam ini, dapat saya simpulkan bahawa para penggiat seni tanah air yang hadir ke sesi kali ini berada di landasan yang betul dan mempunyai prospek perniagaan yang berpotensi besar dan berdaya maju untuk diketengahkan.

"Oleh yang demikian, saya percaya dengan memberikan mereka maklumat yang jelas dan terperinci mengenai kemudahan dana dan pembiayaan serta perkhidmatan yang disediakan oleh Agrobank, ia dapat membantu mereka membuat pilihan yang tepat untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehpasaran perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan.

Kira-kira 30 penggiat seni yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, pelawak dan pengacara telah hadir ke sesi taklimat Agrobank yang dikendalikan oleh Ketua Jabatan Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE), Rosli Jusoh dan Pengurus Cawangan Kuala Lumpur Agrobank, Mohd Haizan Mohd Aziz, yang membincangkan permasalahan yang sedang dihadapi mereka dalam menjalankan perniagaan mereka dan sekali gus memperkenalkan produk dan perkhidmatan Agrobank yang bersesuaian yang boleh ditawarkan kepada penggiat seni ini.

Berkongsi pendapat dan harapan para penggiat seni menerusi taklimat ini, Anne Abdullah berkata, bagi pihak penggiat seni, pihaknya amat berbesar hati apabila dijemput oleh pihak Agrobank untuk hadir ke sesi taklimat ini dan ia sekali gus mengubah persepsi mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Agrobank.

"Produk pembiayaan ditawarkan Agrobank tidak terhad kepada aktiviti pertanian semata, malah ia merangkumi keseluruhan rantaian agromakanan, termasuklah aktiviti hiliran dan huluan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 7:00 AM