Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat semalam diberitahu kerajaan menggalakkan pasangan berkahwin di negara ini menambah bilangan anak bagi menyokong peningkatan populasi negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kebanyakan keluarga didapati memiliki dua anak dan perkara itu dipengaruhi banyak faktor termasuk masalah lewat berkahwin dan kesuburan.

Katanya, keluarga yang ideal diunjurkan mempunyai antara tiga hingga empat anak, sehubungan itu, pelbagai usaha dan galakan dilakukan kerajaan bagi menggalakkan pasangan berkahwin mempunyai anak yang ramai.

“Kita tidak boleh memaksa, tetapi menggalakkan. Kerajaan, insya-Allah cuba pertimbang pelbagai cara, hakikatnya terserah kepada pasangan untuk tentukan berapa ramai anak yang mereka rasa ideal,” katanya ketika menjawab soalan Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Azman meminta kementerian menjelaskan mengenai kadar kesuburan dan adakah kementerian menetapkan sasaran jumlah kelahiran di Malaysia.

Rohani berkata, antara langkah dilakukan termasuk mengadakan kemudahan rawatan Klinik Kesuburan sekiranya pasangan itu tidak boleh melahirkan anak.

Katanya, galakan lain diberikan termasuk cuti bersalin kepada suami ditambah kepada tujuh hari berbanding tiga hari sebelum ini bagi memberi peluang menjaga anak selain waktu kerja anjal dan cuti bersalin antara 60 hari hingga 90 hari.

“Dengan waktu kerja anjal, wanita boleh bekerja dari rumah atau mula kerja sedikit lewat untuk menguruskan keluarga,” katanya.

Ahli Parlimen Batang Lupar itu berkata, kerajaan juga memberi galakan dalam bentuk geran kepada jabatan untuk menubuhkan taska atau pusat jagaan di tempat kerja manakala sektor swasta akan menikmati 10 peratus pengecualian cukai.

“Selain itu, syarikat juga dikecualikan 100 peratus cukai perbelanjaan bagi mengadakan program seperti hari keluarga,” katanya.

Rohani berkata, kadar pertumbuhan penduduk di negara ini diunjurkan menurun bagi tempoh 2020 hingga 2035 berikutan kemerosotan Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) daripada 2.1 anak kepada 1.91.

“Seperti saya sering nyatakan, penurunan KKJ ini akan menyebabkan Malaysia diunjur menjadi negara tua pada 2035 apabila 15 peratus daripada populasi penduduknya adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata, kadar KKJ merujuk purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita dalam umur reproduktif antara 15 hingga 49 tahun.

“Perbandingan mengikut kaum pada 2012 mendapati Melayu mencatatkan KKJ lebih tinggi iaitu 2.6 anak berbanding Cina dan India masing-masing 1.6 dan 1.5,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 5:44 AM