DOSM rekod 10 warga emas berusia 120 tahun.
DOSM rekod 10 warga emas berusia 120 tahun.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin dan Muhamaad Razis Ismail


Kuala Lumpur: Berdasarkan bancian dijalankan pada tahun 2020, terdapat seramai 1,043 warga emas berusia 100 tahun dan lebih di negara ini.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu seramai 18 warga emas berusia 120 tahun.

"Sabah merekodkan jumlah warga emas berusia 120 tahun paling ramai iaitu 10 orang diikuti Selangor (dua orang).

"Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak, Perlis dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan seorang warga emas berusia 120 tahun," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya, penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) menunjukkan komposisi penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) meningkat daripada 3.1 peratus pada 1970 kepada 6.8 peratus pada 2020.

"Berdasarkan data anggaran penduduk semasa, Malaysia mencapai status negara menua pada 2021 apabila komposisi penduduk umur tua mencecah 7.0 peratus dan terus meningkat kepada 7.4 peratus pada 2023," katanya.

Mengulas lanjut, anggaran penduduk semasa pada 2023 menunjukkan Perak mencatatkan komposisi penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) tertinggi dengan 9.7 peratus.

"Ini diikuti Kedah dan Sarawak masing-masing mencatatkan 8.8 peratus dan 8.3 peratus.

"Lapan daripada 16 negeri dan wilayah mencapai status negeri menua apabila komposisi penduduk umur tua melebihi 7 peratus pada 2023," katanya.

Beliau berkata, statistik penuaan adalah penting untuk merancang perkhidmatan sosial dan infrastruktur termasuk mereka bentuk ruang awam yang boleh diakses, sistem pengangkutan dan kemudahan penjagaan kesihatan yang menampung keperluan mobiliti dan penjagaan kesihatan individu yang lebih tua.

"Individu juga perlu menyediakan wang persaraan mencukupi atau membuat perancangan bermula sekarang bagi persediaan menghadapi masa tua.

"Jangkaan hayat pada umur 60 tahun pada tahun 2020 bagi lelaki dan perempuan, masing-masing 18.2 dan 20.9 tahun dan kehidupan sepanjang jangka hayat ini dengan tanpa pendapatan bulanan sepertimana ketika masih bekerja adalah satu cabaran besar kepada penduduk tua," katanya.

Tambahnya, penduduk yang semakin menua boleh mempunyai implikasi ekonomi yang ketara seperti perubahan struktur penyertaan tenaga buruh, produktiviti dan corak penggunaan.

"Kerajaan dan perniagaan menggunakan statistik penuaan untuk meramal dan bertindak balas terhadap anjakan ekonomi ini, menyesuaikan dasar dan strategi perniagaan dengan sewajarnya," katanya.

Katanya, selain itu statistik penuaan adalah penting untuk perancangan penjagaan kesihatan, membolehkan pihak penggubal dasar meramal dan menangani keperluan penjagaan kesihatan khusus yang berkaitan dengan penduduk yang lebih tua.

"Ini termasuk membangunkan program penjagaan geriatrik, langkah kesihatan pencegahan dan penyelidikan perubatan yang disesuaikan dengan keadaan berkaitan usia.

"Warga tua juga sering dikaitkan dengan penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan penjagaan berpanjangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 7:40 AM