GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kerajaan Johor akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk mengkaji pelaksanaan dasar Malaysia My Second Home (MM2H) dalam usaha memastikan isu lambakan perumahan mewah tidak terjual di negeri ini dapat diatasi.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selain itu enam perkara berhubung perumahan menjadi fokus Johor iaitu rumah mampu milik, program perumahan negeri, dasar perumahan, rejuvensi rumah pangsa negeri, setinggan sifar Johor 2035 dan penyelesaian isu hartanah tidak terjual.

"Berhubung isu kediaman tidak terjual di Johor, kerajaan negeri telah menganalisis data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

"Dapatan awal hartanah tidak terjual membabitkan pangsapuri perkhidmatan mewah yang mensasarkan segmen pembeli tertentu.

"Namun, data-data yang dikeluarkan masih perlu diperincikan agar penyelesaian boleh dibuat secara tuntas. Justeru, kerajaan negeri akan membentuk jawatankuasa khas yang membabitkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Plan Malaysia dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Pada 9 Disember lalu, kerajaan negeri dilaporkan mahu kerajaan Persekutuan menghidupkan semula Program MM2H bagi mengatasi isu lambakan perumahan mewah tidak terjual di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, dilaporkan berkata program MM2H adalah penyelesaian yang dilihat mampu membuka ruang kepada peserta program berkenaan membeli rumah mewah berharga RM500,000 ke atas yang tidak terjual di negeri ini.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan bertitah, kerajaan perlu menyegerakan semakan semula terhadap syarat ketat program berkenaan yang ditetapkan berikutan Johor adalah antara destinasi utama pelaburan asing, selain antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Johor merekodkan lebih 6,000 unit 'overhang' atau tidak terjual bernilai RM4.7 bilion, iaitu jumlah tertinggi di negara ini.

Dalam pada itu, kerajaan Johor juga akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mencapai misi Setinggan Sifar Negeri Johor 2035.

Katanya, jawatankuasa khas itu diwujudkan bagi menyelaras pemindahan setinggan di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 3:24 PM