Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Getah Malaysia (MRC) akan mempromosikan produk sarung tangan halal buatan Malaysia di acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2022 berserta agensi-agensi agrikomoditi lain di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

MIHAS 2022 bermula hari ini sehingga 10 September 2022 dengan acara kali ini bertemakan 'Penggunaan Beretika.'

Dalam kenyataannya, MRC berkata sektor agrikomoditi akan mempamerkan pembangunan serta pengeluaran produk berkualiti dan berdaya saing dalam kaedah lestari yang menepati konsep halal.

"Antara produk yang akan dipromosikan oleh MRC menerusi kategori sarung tangan halal adalah sarung tangan perubatan, sarung tangan pakai buang dan sarung tangan bagi pengendalian makanan yang mematuhi piawaian antarabangsa ketat bercirikan konsistensi berkualiti tinggi dan harga yang kompetitif," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRC Nor Hizwan Ahmad berkata pihaknya berharap penyertaan aktif dalam kalangan pempamer dan pengunjung dagangan dari serata dunia di Mihas 2022 akan dapat menerajui inisiatif serta tindakan bagi meningkatkan ekonomi halal global.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 12:45 PM