PENGURUS dana memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi aset KWSP.
PENGURUS dana memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi aset KWSP.

SEBANYAK RM167.63 bilion disalurkan kepada pengurus dana luaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga 31 Disember 2021, meningkat lapan peratus berbanding berbanding RM155.18 bilion pada akhir 2020.

Peruntukan itu yang dilaburkan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap mewakili 16.66 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata, barisan pengurus dana luar menunjukkan prestasi yang baik pada 2021 dan memberikan keputusan yang membanggakan selaras dengan objektif dan jangkaan untuk tahun berkenaan.

"Pengurus dana memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi aset KWSP.

"Seiring dengan pertumbuhan saiz dana KWSP, ia akan meneruskan strategi kepelbagaian ini dan memanfaatkan kemahiran mereka yang melengkapkan keupayaan pengurusan dana dalaman KWSP sendiri," katanya dalam kenyataan.

KWSP semalam mengumumkan 22 anugerah disampaikan kepada pemenang pengurus dana luaran sebagai pengiktirafan kepada prestasi mereka dalam menguruskan portfolio pelaburan KWSP pada 2021.

Anugerah Pengurus Dana Luaran KWSP yang memasuki tahun ke-20 meraikan dan mengiktiraf pencapaian barisan pengurus dana luaran KWSP mengikut mandat masing-masing yang dinilai berdasarkan beberapa set metrik kuantitatif.

Bagi tahun kewangan berakhir 2021, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus dengan pembayaran RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus dengan pembayaran RM6.27 bilion untuk Simpanan Shariah.

Secara kumulatif, jumlah pembayaran untuk 2021 ialah RM56.72 bilion.

Mac lalu, KWSP melancarkan Polisi Pelaburan Mampan KWSP, Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan untuk membimbing pengurus dana persaraan pekerja swasta itu membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum dan holistik dengan mengintegrasikan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses pengurusan pelaburannya.

Acara itu juga menyaksikan 16 pengurus dana luaran KWSP menandatangani Ikrar Pelaburan Mampan sebagai tanda komitmen mereka terhadap penerapan ESG ke dalam keputusan pelaburan.

Mengulas lanjut, Ahmad Badri berkata sesuai dengan kedudukan KWSP sebagai dana persaraan yang mempunyai objektif dan aspirasi jangka panjang, amat penting baginya menggabungkan faktor ESG ke dalam penilaian prestasi dan amalan perniagaan syarikat pelaburan dan pengurus dana luarannya.

Beliau berkata, rangka kerja Pelaburan Mampan KWSP akan menjadi asas kepada sesi libat urus dalam membincangkan, menilai dan mengurus risiko ESG, selain memanfaatkan peluang penambahan nilai.

"KWSP meletakkan piawaian yang tinggi ke atas prestasi dan ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pengurus dana ke atas prestasi mereka yang cemerlang tahun lalu yang telah menyumbang kepada kejayaan KWSP dan seterusnya kepada kesejahteraan ahli KWSP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 7:15 AM