KUALA LUMPUR 16 OKTOBER 2023. Tinjauan bangunan dan logo Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sekitar Kuala Lumpur. STU/ AHMAD UKASYAH
KUALA LUMPUR 16 OKTOBER 2023. Tinjauan bangunan dan logo Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sekitar Kuala Lumpur. STU/ AHMAD UKASYAH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan senarai kelayakan dikemas kini untuk dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuat kuasa pada 1 April 2024.

Menurut KWSP, sebanyak 296 dana yang diluluskan daripada 18 Institusi Pengurusan Dana (IPD) di bawah SPA KWSP.

Berdasarkan penilaian tahunan yang dilaksanakan setakat 31 Disember 2023, 189 dana mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahli KWSP untuk tempoh 2024/2025, katanya.

Daripada dana yang layak ini, 151 dana, atau (79.9 peratus) adalah dana tempatan; 107 dana (56.6 peratus) adalah dana ekuiti; dan 76 dana (40.2 peratus) adalah dana Syariah.

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof berkata, skim ini membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 KWSP mereka ke dalam dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk pelaburan di pasaran tempatan atau global bagi memberi peluang kepada ahli meningkatkan simpanan persaraan mereka.

"Senarai ini juga adalah termasuk dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment atau SRI) yang berperanan dalam memacu agenda pelaburan mampan KWSP, di samping memperkasa ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum melalui pelbagai dana yang dibenarkan," katanya.

KWSP berkata, kesemua dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Kriteria kelayakan untuk penilaian dana ini termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana.

Di samping itu, ia menekankan ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

Rohaya berkata, sejak pelancaran platform i-Invest (SPA KWSP) pada 2019, sekitar RM2.5 bilion diurusniagakan sehingga Disember 2023.

Untuk senarai penuh untuk dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/ms/ahli/simpanan/i-invest.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 2:35 PM