RAMAI rakyat Malaysia masih kurang perlindungan insurans dan mempunyai kesedaran yang rendah terhadap kepentingan insurans banjir. FOTO Arkib NSTP
RAMAI rakyat Malaysia masih kurang perlindungan insurans dan mempunyai kesedaran yang rendah terhadap kepentingan insurans banjir. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) mendedahkan bahawa dalam kejadian banjir tahun lalu, lebih 80 peratus kenderaan yang ditunda oleh syarikat insurans itu tidak mempunyai perlindungan banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, di sebalik peningkatan yang agak kecil dalam kalangan mereka yang membeli perlindungan banjir selepas kejadian tahun lalu (3.9peratus dari pemegang polisi motor AXA sudah memasukkan perlindungan banjir dalam polisi motor mereka tahun ini), ramai rakyat Malaysia masih kurang perlindungan insurans dan mempunyai kesedaran yang rendah terhadap kepentingan insurans banjir.

"Pada hakikatnya, seseorang hanya sedar mengenai kepentingan perlindungan insurans selepas berlaku sesuatu insiden bila mereka tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mempunyai cara untuk menggantikan kerugian atau kerosakan mereka.

"Pemikiran seperti ini mesti diubah kerana insurans bukan mengenai ramalan atau pelaburan, tetapi langkah bersedia terhadap risiko luar jangkaan dan memastikan perlindungan kewangan dan ketenangan minda," katanya.

Menurutnya, insurans banjir adalah suatu keperluan dan adalah penting untuk menginsurankan kenderaan, kediaman dan harta lain untuk mengurangkan impak kewangan sekiranya berlaku sebarang kecelakaan.

"Oleh kerana banjir adalah perlindungan pilihan di bawah polisi motor komprehensif, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk membeli atau menambah pelan insurans untuk merangkuni bencana banjir atau bencana khas yang bukan sahaja memberi perlindungan terhadap banjir, tetapi juga ribut, tanah runtuh dan lain-lain bencana semula jadi.

"Perlindungan banjir AXA untuk kenderaan dan kediaman boleh dilanggan terus dari AXA, ejennya, rakan kongsi dan pasaran insurans.

"Jika berlaku banjir, AXA komited untuk menawarkan segala bantuan kepada pemegang polisi dalam memudahkan proses tuntutan, khidmat penundaan percuma hingga perkhidmatan hotline 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 6:10 AM