ISMAIL Sabri (kiri) bersama Duta Ted Osius, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean (AS-ABC). FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri (kiri) bersama Duta Ted Osius, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean (AS-ABC). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Washington: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu (Khamis di Malaysia) mempelawa pelabur dan ahli perniagaan Amerika untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Beliau mengalu-alukan mereka, terutamanya syarikat Fortune 500 untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka iaitu dalam sektor digital ekonomi, teknologi hijau dan kereta elektrik.

"Saya cadang Tesla membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menemui Duta Ted Osius, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean (AS-ABC) di sebuah hotel di sini.

Penubuhan AS-ABC pada 1984 mewakili 170 perniagaan utama Amerika di Asia Tenggara.

Perdana Menteri yang tiba di sini semalam dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke AS termasuk bertemu dengan Presiden Joe Biden dan pemimpin Asean.

Ismail Sabri berkata, beliau sudah meminta AS-ABC untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menarik pelaburan ke Asean, terutamanya Malaysia.

"Mereka menganggap Malaysia sebagai rakan perdagangan Amerika Syarikat yang penting," kata Perdana Menteri mengenai reaksi AS-ABC.

Kemudian, Ismail Sabri mempunyai sesi berasingan dengan Setiausaha Agung World Information Technology and Services Alliance (WITSA) Dr James H Poisant di tempat sama.

WITSA, katanya akan mengadakan Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT), persidangan IT terbesar di dunia, di Pulau Pinang pada September.

"Saya berharap kongres ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dari segi teknologi," katanya.

Ismail Sabri berkata, peserta dari seluruh dunia akan berhimpun di kongres itu termasuk penceramah dari agensi angkasa Amerika.

Dalam pertemuan lain di tempat yang sama, Perdana Menteri Malaysia bertemu Presiden Peterson Institute for International Economics Dr Adam S Posen dan Naib Presiden East-West Center Dr P Limaye.

Perdana Menteri turut mengadakan perbincangan berasingan dengan Timbalan Penolong kepada Presiden AS dan Penyelaras Hal Ehwal Indo-Pasifik di Majlis Keselamatan Negara Dr Kurt M Campbell.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 10:38 AM