PERJALANAN udara domestik antara lapangan penting menghidupkan kembali ekonomi terutama sektor pelancongan.
PERJALANAN udara domestik antara lapangan penting menghidupkan kembali ekonomi terutama sektor pelancongan.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


Kuala Lumpur: Pembukaan semula sempadan negeri sejak 6 Disember lalu memberi kelegaan kepada sektor penerbangan domestik dan mengembalikan prospek positif ke atas industri yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sejak pembukaan semula sempadan negeri, kadar jualan tempat duduk syarikat penerbangan tambang rendah itu meningkat sekitar tiga kali ganda berbanding tempoh sekatan dikuatkuasakan.

Katanya, antara laluan penerbangan paling popular ditempah adalah Kuala Lumpur-Langkawi, Kota Bharu-Kuala Lumpur, Kota Kinabalu-Tawau, Langkawi-Pulau Pinang dan Kuala Lumpur-Pulau Pinang.

"Permintaan perjalanan di semua hab kami menunjukkan peningkatan tinggi. AirAsia cuba memenuhi permintaan perjalanan di dalam pasaran, malah kami memperluaskan jaringan domestik dengan lapan lagi laluan baharu.

"Laluan baharu ini menghubungkan Langkawi-Ipoh, Langkawi-Kota Bharu, Johor Bahru-Bintulu, Johor Bahru-Kota Bharu, Pulau Pinang-Sibu, Pulau Pinang-Kota Bharu dan Kuching-Langkawi.

"Setiap laluan beroperasi dengan tiga penerbangan mingguan yang bermula bulan ini, sementara penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu dijadualkan bermula pada Februari 2021," katanya.

Mengulas lanjut, Riad berkata, perjalanan udara domestik antara sektor penting menghidupkan kembali ekonomi terutama sektor pelancongan.

"Baru-baru ini, kami mengumumkan lapan laluan domestik baharu dan menjangka promosi Cuti-Cuti Malaysia yang bermula daripada RM12 ini memenuhi permintaan perjalanan domestik.

"Penambahan rangkaian domestik baharu antara bandar membolehkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan dengan mudah dan kami berharap langkah ini mengembangkan lebih banyak peluang perniagaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Mengenai operasi pasca-PKPB, Riad berkata, AirAsia juga melaksanakan prosedur tanpa sentuhan sepanjang perjalanan dan langkah keselamatan baharu, serta kemudahan untuk mereka berisiko, selain mematuhi nasihat dan peraturan daripada kerajaan tempatan dan pihak berkuasa kesihatan.

"AirAsia bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan.

"Kami juga mematuhi panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan," katanya.

"Semua pesawat kami dilengkapi dengan Penapis Udara Kecekapan Tinggi (HEPA) standard hospital juga melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan," katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines berkata, syarikat penerbangan nasional itu kekal optimis dengan industri pelancongan tempatan dengan pembukaan sempadan negeri dijangka melonjak permintaan dan menggalakkan pelancong domestik melawat destinasi menarik dalam negara.

"Malaysia Airlines melanjutkan program Insentif Cuti Malaysia sehingga 20 Disember dan melancarkan beberapa kempen diskaun serta produk bagi menggalakkan rakyat melancong.

"Kami terus melihat dan menyelaras kapasiti penerbangan untuk memenuhi permintaan pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 7:56 AM