PRESTASI Petronas disokong pemulihan harga komoditi disebabkan peningkatan kembali permintaan dalam sektor tenaga serta pembukaan ekonomi.
PRESTASI Petronas disokong pemulihan harga komoditi disebabkan peningkatan kembali permintaan dalam sektor tenaga serta pembukaan ekonomi.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Petronas berada di landasan tepat dalam mencapai pertumbuhan perniagaannya, apabila kembali meraih keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih RM21 bilion pada tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi Petronas pada tahun lalu itu dicapai dengan pengukuhan portfolio utama kumpulan serta kekal berdaya saing sepanjang dua tahun ini biarpun berdepan cabaran dalam pemulihan pasaran dan ekosistem tenaga.

Menurutnya, prestasi itu turut disokong dengan pemulihan harga komoditi disebabkan peningkatan kembali permintaan dalam sektor tenaga serta pembukaan ekonomi apabila lebih banyak penduduk dunia mendapat vaksinasi penuh.

"Permintaan global untuk komoditi dan tenaga meningkat dengan pantas melebihi jangkaan dan Petronas akan terus memanfaatkan peluang baharu untuk mengekalkan pencapaian ini termasuk pertumbuhan keuntungan sebagai syarikat minyak dan gas nasional negara.

"Selari dengan pengenalan entiti baharu pada pertengahan tahun ini dan penubuhan Unit Pengurusan Karbon kami, ia akan mengembangkan Petronas menjadi superstore tenaga yang menyediakan pelanggan penyelesaian perniagaan terbaik dengan tenaga bersesuaian dan memenuhi kemajuan bahan api mereka.

"Pada tahun ini, dijangkakan akan menjadi tahun yang bermakna untuk Petronas melangkah ke hadapan bagi mencapai sasaran ditetapkan terutamanya menjadi rakan kongsi penyelesaian dan tenaga terbaik.

"Menerusi strategi pertumbuhan serampang tiga mata dan Net Zero Carbon Emissions 2050, Petronas komited untuk terus memastikan tenaga dapat dihasilkan dan disediakan secara mampan," katanya ketika sidang media pengumuman keputusan kewangan suku keempat dan keseluruhan tahun kewangan 2021 di sini, semalam.

Petronas turut mencatatkan lonjakan pendapatan kepada RM248 bilion berbanding RM178.7 bilion pada tahun lalu dengan sebahagian besarnya berikutan kesan ketidaktentuan harga untuk beberapa produk utama.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan turut naik kepada RM100.5 bilion, disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi.

Aliran Tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berada pada RM78.6 bilion.

Setakat 31 Disember 2021, jumlah aset keseluruhan syarikat minyak dan gas nasional itu meningkat kepada RM635 bilion berbanding RM574.1 bilion tahun lalu, disumbangkan oleh tunai dan tunai setara lebih tinggi termasuk akaun terimaan lebih tinggi.

Selain itu, perbelanjaan modal (Capex) kumpulan berjumlah RM30.5 bilion, kebanyakan untuk projek huluan.

Bagi unjuran tahun ini, Petronas menjangkakan akan terus beroperasi dalam persekitaran yang mencabar terutama menerusi ketidaktentuan pasaran dan peningkatan risiko geopolitikal.

"Kumpulan akan memfokus melaksanakan pelan pertumbuhannya dan meningkatkan usaha selain kekal komited mencapai kecemerlangan operasi dan komersial tahun ini dan tahun seterusnya.

"Petronas juga komited mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan bertaraf dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 7:08 AM