WAN Zulkifli ketika sidang media pengumuman kedudukan kewangan Petronas. FOTO Hasriyasyah Sabudin
WAN Zulkifli ketika sidang media pengumuman kedudukan kewangan Petronas. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan pendapatan sebanyak RM248 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, menurun 25 peratus berbanding RM329 bilion pada tahun kewangan yang lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, dengan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini, kumpulan hanya mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM40 bilion, iaitu 42 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Beliau berkata, kumpulan menjangka akan melalui pertumbuhan kedudukan kewangan yang mencabar pada 2016 kerana harga minyak dunia dilihat akan terus mengalami kemerosotan untuk jangka masa panjang.

"Petronas sentiasa akan berusaha untuk mengukuhkan kedudukan semasanya dalam memastikan pendapatan serta perolehan dapat dicapai disamping memenuhi komitmen dividen kepada semua pemegang saham," katanya pada sidang media pengumuman kedudukan kewangan berakhir 31 Disember 2015 Petronas di sini, hari ini.

Tambahnya, Petronas turut melaksanakan program inisiatif rasionalisasi dengan mengurangkan perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi sebanyak RM50 bilion untuk tempoh empat tahun akan datang bagi menangani kemelut ekonomi yang mencabar dan kejatuhan harga minyak.

Sementara itu, bagi suku terakhir tahun kewangan berkenaan, Petronas mencapai pendapatan RM60 bilion, menurun 24 peratus dan PAT RM9.9 bilion, 21 peratus penurunan berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:56 PM