MATTA berharap agar kerajaan tidak melengahkan masa bagi memaklumkan SOP aktiviti umrah memandangkan ia sudah diluluskan.
MATTA berharap agar kerajaan tidak melengahkan masa bagi memaklumkan SOP aktiviti umrah memandangkan ia sudah diluluskan.

PERSATUAN Ejen–Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyarankan kerajaan segera meluluskan standard operasi prosedur (SOP) dan kuarantin di rumah berikutan kebenaran untuk membenarkan semula aktiviti perjalanan umrah berkuat kuasa pada 8 Februari 2022.

Matta berharap agar kerajaan tidak melengahkan masa bagi memaklumkan SOP aktiviti umrah memandangkan ia sudah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Matta juga menyarankan agar jemaah yang sudah lengkap divaksinasi hanya perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah dan bagi jemaah yang mendapatkan dos penggalak tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya keputusan ujian PCR negatif.

Bagi jemaah yang didapati positif hendaklah dikuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Naib Presiden Umrah & Haji Matta, Mohd Azri Abd Razak berkata, Arab Saudi juga tidak memerlukan jemaah dari Malaysia untuk menjalani kuarantin jika sudah lengkap divaksinasi.

"Kami berpendapat memandangkan kesan sampingan Omicron lebih lemah tehadap jemaah sudah mengambil dos penggalak, jemaah umrah harus dibenarkan melakukan ibadah itu.

"Kami juga menggesa agar pembukaan sempadan dibenarkan sepenuhnya memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah mengambil dos penggalak.

"Jika dibandingkan dengan negara luar, Malaysia antara negara terakhir yang ketinggalan dalam membuka sempadannya.

"Perkara ini perlu diambil perhatian demi menyelamatkan ekonomi negara dan agensi pelancongan terutamanya Bumiputera yang terbabit dalam pengurusan umrah," katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan dapat mengeluarkan SOP dengan kadar segera kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh agensi pelancongan.

disebabkan oleh penangguhan aktiviti umrah sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 7:10 AM