UEM Sunrise melancar galeri jualan  di Equine Park, Seri Kembangan.
UEM Sunrise melancar galeri jualan di Equine Park, Seri Kembangan.

Kuala Lumpur: UEM Sunrise melancarkan galeri jualan untuk projek pembangunan terbaharunya, KAIA Heights, kondominium bertingkat tinggi di puncak bukit yang eksklusif di Equine Park, Seri Kembangan.

Projek kediaman berkepadatan rendah seluas 7.8 hektar itu akan dibina dalam dua fasa, setiap fasa meliputi dua menara 30 tingkat, menempatkan sejumlah 924 unit kondominium.

Dengan harga permulaan RM567,800 seunit, keluasan binaan setiap unit adalah antara 972 kaki persegi dan 1,437 kaki persegi.

Penghuni akan dapat menikmati kemudahan seperti gelanggang futsal, gelanggang bola keranjang, denai joging, dewan serbaguna/gelanggang badminton, gimnasium, tiga kolam berbeza dan kawasan barbeku.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, persekitaran berkepadatan rendah itu menambah nilai, selesa untuk didiami dan daya tarikan KAIA Heights.

"Pembangunan yang berkonsep kekeluargaan ini dibina dengan pelbagai ruangan serba hijau dan kemudahan rekreasi berintegrasi yang menyediakan landasan untuk gaya hidup aktif di samping menawarkan akses mudah ke pelbagai kemudahan kesihatan, pusat pendidikan dan ruang runcit.

"Daya tarikan KAIA Heights menjadikannya sesuai untuk pembeli rumah kali pertama, pembeli yang ingin menaiktaraf, serta pasangan yang berkeluarga muda," katanya.

Menurutnya, UEM Sunrise memahami keperluan sebuah masyarakat yang terangkum, oleh kerana itu kemudahan rekreasi bersifat berbilang generasi untuk membuatkan ia lebih menarik bagi warga emas dan turut memperluaskan keupayaan untuk menjana ruang yang selamat dan selesa buat generasi keluarga akan datang.

Fasa pertama dianggarkan siap pada suku pertama 2025.

Pembangunan secara keseluruhannya akan menempatkan sekitar 924 unit dengan purata 48 unit setiap ekar. Walaupun pembangunan terletak di atas puncak bukit yang eksklusif, pembinaan akan dilaksanakan dengan mematuhi piawaian keselamatan yang paling ketat, mengekalkan paras tanah tinggi dan pelepasan sekurang-kurangnya 14 meter dalam garisan anjakan bangunan.

KAIA Heights kini mendapat pensijilan perak Green-RE dan menggunakan bahan tidak toksik, beretika dan mampan serta menggunakan air hujan untuk pengairan.

Pembangunan itu juga memulihara hampir 40 peratus daripada perhutanan di sekitar kawasan, menggunakan kompos yang dikitar semula daripada sisa hortikultur, dan direka bentuk tanpa telaga udara untuk pengudaraan yang lebih baik.

UEM Sunrise turut bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia untuk menanam pelbagai spesies pokok yang juga tumbuhan asli di persekitaran Hutan Simpan Ayer Hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 7:03 AM