ORANG ramai berbaris menanti pembukaan Lotus’s di Bandar Puteri Jaya, Kedah.
ORANG ramai berbaris menanti pembukaan Lotus’s di Bandar Puteri Jaya, Kedah.

Kuala Lumpur: Lotuss Stores Malaysia Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) memulakan 2022 dengan hebat melalui pelancaran dua gedung Lotus's yang tulen sejak mengambil alih daripada Tesco Malaysia pada Disember 2020.

Pembukaan dua gedung yang terletak masing-masing di Pulai Hartamas, Perak dan Bandar Puteri Jaya, Kedah menandakan lembaran baharu bagi Lotus's yang masih dalam peringkat terakhir penjenamaan semula semua 62 stor yang diwarisi daripada Tesco.

Presiden Lotus's Malaysia, Kenneth Chuah berkata, pembukaan Lotus's Pulai Hartamas di Perak dan Lotus's Bandar Puteri Jaya di Kedah adalah sangat bermakna kerana ia bukan hanya menggariskan komitmen syarikat untuk meluaskan lagi kehadiran di Malaysia, tetapi juga kerana kedua-dua gedung ini adalah gedung Lotus's sebenar yang tidak perlu dijenamakan semula.

"Gedung Pulai Hartamas, yang mengikut format superstore yang lebih kecil menandakan hala tuju baharu dalam strategi perniagaan kami.

"Penyelidikan kami menunjukkan bahawa pelanggan sangat sibuk dan kesuntukan masa, sekali gus mereka ingin menyelesaikan pembelian barangan runcit secepat mungkin.

"Dengan menawarkan gedung yang lebih kecil tetapi dengan jumlah tawaran yang sama dalam ketersediaan, rangkaian dan kemudahan, kami boleh memenuhi permintaan itu," katanya dalam kenyataan.

Chuah berkata, pembukaan kedua-dua gedung itu juga menyaksikan penciptaan 77 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:00 AM