Tengku Zafrul melawat kompleks LKIM dan Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan.
Tengku Zafrul melawat kompleks LKIM dan Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan.

Kuala Lumpur: Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu di Kelantan dan menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi di kawasan ini, ia diyakini dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion.

Ia juga dijangka dijangka dapat menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk masyarakat tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat berkata, projek berimpak tinggi di kawasan ini dan infrastruktur luaran yang dibangunkan diyakini dapat menyumbang kepada sasaran pelaburan.

"Antara projek berimpak tinggi yang dijalankan adalah Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi Pelabuhan Tok Bali yang sedang dilaksanakan oleh ECERDC, diyakini dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion selain meningkatkan peluang pekerjaan penduduk tempatan," katanya.

Pembangunan kawasan Tok Bali akan memberi tumpuan terhadap lima sektor utama iaitu pembuatan, perikanan, minyak dan gas, logistik dan perkhidmatan serta ekopelancongan bagi mempelbagaikan ekonomi di kawasan ini dan meningkatkan daya saing Tok Bali sebagai destinasi pelaburan.

TBIP adalah taman perindustrian campuran yang memberi tumpuan terhadap aktiviti nilai tambah (hiliran) yang melibatkan pengeluaran produk berasaskan minyak sawit dan minyak kelapa, bahan pembinaan berasaskan kayu, pembuatan logam dan pembuatan am.

Pembangunan infrastruktur asas untuk aktiviti hiliran dalam Fasa 1A telah siap sepenuhnya dan kini mula menarik pelaburan ke kawasan ini.

ECERDC kini sedang aktif membangunkan infrastruktur asas untuk Fasa 1B yang dijangka siap pada November 2022.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam lawatan ke Tok Bali sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan berkata, kerajaan persekutuan yakin bahawa insentif cukai khas yang dilaksanakan melalui ECERDC akan merancakkan transformasi ekonomi negeri ini.

"Pada masa sama, projek pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan di kawasan berhampiran seperti Jalan Central Spine dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dapat meningkatkan tarikan pelaburan terutamanya ke kawasan Tok Bali," katanya.

Menerusi insentif cukai khas ini, pelabur akan dapat menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17 peratus untuk lima tahun berikutnya.

Sebagai insentif tambahan, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan bagi syarikat yang diluluskan insentif hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 7:01 AM