Kawasan sekitar Tok Bali.
Kawasan sekitar Tok Bali.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pembangunan dan naik taraf infrastruktur di kawasan Tok Bali, Kelantan dijangka dapat meningkatkan kapasitinya menjadi pusat wilayah pertumbuhan perdagangan.

Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Kelantan akan memfokus kembali usaha penting mereka dalam memacu pertumbuhan sosioekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, usaha ini termasuk pelaksanaan pelan transformasi, yang akan melihat Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan untuk menyokong aktiviti hiliran.

Katanya, ini juga akan mendorong penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKSM) tempatan dalam pengeluaran produk berasaskan ikan bernilai tinggi.

"Pembangunan Kampung Laut akan menjadi pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi 'mesti dikunjungi' di Kelantan.

"Kompleks ini, yang menyediakan ruang niaga untuk penduduk tempatan yang mengusahakan serunding akan meningkatkan pelancongan di Kampung Laut dan memberi limpahan manfaat kepada penduduk tempatan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Kerajaan Kelantan bersetuju untuk membangunkan Pelabuhan Darat Pasir Puteh yang menawarkan perkhidmatan sokongan selain mewujudkan ekosistem kondusif ke atas industri sedia ada di kawasan Tok Bali.

Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, semalam.

Bagi Fasa Pertama projek pembangunan semula Kampung Laut akan bermula September tahun ini dan kompleks itu dijangka siap dan beroperasi menjelang Oktober 2021 dengan menempatkan 11 usahawan serunding tempatan.

Fasa Kedua pula termasuk pembangunan Laman Warisan Seni Kampung Laut akan selesai sepenuhnya awal tahun depan dan kompleks ini akan mengetengahkan hasil seni dan kebudayaan Kelantan serta menyediakan peluang usahawan tempatan mempamerkan hasil kerja mereka.

Seterusnya, tambahan dalam Fasa Kedua itu juga bakal menempatkan semula Masjid Kampung Laut yang berusia lebih 300 tahun.

Pada 2021, ECERDC berjaya menarik pelaburan bernilai RM600 juta dengan potensi 1,836 peluang pekerjaan baharu dan 660 peluang keusahawanan baru di Kelantan.

Baidzawi berkata, pelaburan terbesar di negeri itu tahun ini ialah pemasangan loji solar terapung terbesar di Asia Tenggara, yang terletak di Danau Tok Uban, Kelantan.

"Kelantan telah menarik pelaburan langsung domestik (DDI) sewaktu pandemik dan ini menunjukkan keyakinan syarikat tempatan terhadap daya saing negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan.

"ECERDC akan terus memfokuskan kepada projek utama dalam memastikan pembangunan di Tok Bali berjaya dilaksanakan kerana Tok Bali adalah pemangkin untuk lonjakan pertumbuhan ekonomi seterusnya di Kelantan.

"Di samping itu, penyiapan projek pembangunan semula Kampung Laut Fasa 1 dan Fasa 2 yang bakal disiapkan pada awal tahun depan adalah petanda baik kepada pemulihan sosioekonomi di Kelantan," katanya.

TAMAT

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:19 PM