Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menawarkan tender terbuka untuk 226 lot komersial berikutan peningkatan pergerakan trafik udara baru-baru ini susulan kelonggaran sekatan perjalanan udara.

Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, lapangan terbang di seluruh negara mempunyai sejumlah 808 ruang komersial pada masa ini, dan sebanyak 70 peratus daripadanya telah dibuka tender sebelum ini dan sebahagian besarnya telah ditawarkan.

"Dalam melaksanakan inisiatif penjajaran semula komersial kumpulan, bahagian akhir tender untuk 226 lot komersial ini adalah fasa untuk menarik peserta tempatan dan global untuk mengambil bahagian dalam menawarkan jenama baharu di lapangan terbang di seluruh negara," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, inisiatif penjajaran semula komersial itu dikenal pasti sebagai misi penting dan pelaksanaannya diteruskan walaupun terdapat impak daripada pandemik terhadap prestasi kewangan kumpulan.

"Kami mahu memastikan bahawa kami bersedia untuk menyambut kembalinya penumpang dengan tawaran dan pengalaman runcit baharu yang menarik, justeru kami mengalu-alukan penyertaan jenama tempatan dan global untuk membantu merealisasikan matlamat penjajaran semula komersial kami.

"Sebelum Covid-19, segmen bukan aeronautik menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah pendapatan kumpulan. Pada 2019, sebanyak 47 peratus daripada jumlah pendapatan disumbangkan oleh segmen ini yang termasuk perniagaan komersial dan runcit," katanya.

Menurutnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi adalah contoh pelaksanaan penjajaran semula komersial yang berjaya apabila lapangan terbang itu kini mempunyai cawangan Burger King, Ya Kun Kaya Toast dan Costa Coffee yang pertama di pulau itu.

"Sementara itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Din by Din Tai Fung turut membuka cawangan pertamanya di lapangan terbang," katanya.

Pembida yang berminat boleh melayari https://vms.malaysiaairports.com.my untuk maklumat lanjut mengenai tarikh taklimat tender.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 1:11 PM