LIMA lapangan terbang antarabangsa bakal menjadi destinasi beli-belah dan pusat gaya hidup terkemuka di Asia Pasifik.
LIMA lapangan terbang antarabangsa bakal menjadi destinasi beli-belah dan pusat gaya hidup terkemuka di Asia Pasifik.
Mahanum Abdul Aziz dan Ayisy Yusof

Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bercadang menjadikan lima lapangan terbang antarabangsa kendaliannya di negara ini sebagai destinasi membeli-belah dan pusat gaya hidup terkemuka di Asia Pasifik.

Lapangan terbang yang sedang dan akan distruktur semula itu adalah di Langkawi, KLIA, Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Mohammad Nazli Abdul Aziz berkata, kerja menyusun semula itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Beliau berkata, usaha mentransformasi lapangan terbang antarabangsa kendaliannya itu membabitkan pengubahsuaian ruang dan zon niaga kepada beberapa bahagian yang mana didahului dengan zon bebas cukai, makanan dan minuman dan fesyen mewah.

Katanya, langkah transformasi itu tidak akan membabitkan pelaburan yang besar kerana ia tidak memerlukan perubahan infrastruktur yang besar.

“Kami melaksanakan Strategi RESET Komersial untuk meletakkan lima lapangan terbang antarabangsa di negara ini setaraf dengan lapangan antarabangsa lain di rantau ini,” katanya pada taklimat mengenai Strategi RESET Komersial MAHB di sini, semalam.

Mohammad Nazli berkata, usaha itu juga sejajar dengan peningkatan permintaan pelanggan dan pertumbuhan pesat industri penerbangan pada masa depan.

Beliau berkata, kini masanya untuk mentranformasi lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB daripada hab pengangkutan kepada destinasi gaya hidup dan beli-belah kepada pelanggan dalam dan luar negara.

Usaha itu, katanya, dijangka meningkatkan sumbangan pendapatan bukan aeroangkasa pada masa depan.

“Lazimnya, lapangan terbang antarabangsa yang matang boleh mencatatkan sumbangan pendapatan aeroangkasa dan bukan aeroangkasa 40:60. Jadi, kita ke arah mencapai nisbah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 3:00 PM