UEM Edgenta Learning Centre (UELC), Petaling Jaya.
UEM Edgenta Learning Centre (UELC), Petaling Jaya.

Kuala Lumpur: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) mengubah suai Pusat Penilaian Covid-19 Swasta (CAC) di UEM Edgenta Learning Centre (UELC), Petaling Jaya sebagai Pusat Vaksinasi Awam (PPV) untuk golongan remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun.

PPV ini ditubuhkan hasil usaha sama bersama ProtectHealth, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disokong oleh Uni KLINIK.

Ia akan beroperasi selama enam minggu bermula 11 Oktober 2021 dari jam 9 pagi sehingga 4 petang setiap hari dan ditutup pada setiap Sabtu dan Ahad.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat terus menyokong kerajaan bagi membantu memastikan liputan vaksinasi dicapai seluas mungkin dengan mengalu-alukan golongan remaja untuk mendapatkan suntikan vaksinasi mereka.

"Ini juga penting bagi membolehkan sesi persekolahan dapat dibuka semula dengan lebih banyak pelajar divaksinasi. Memandangkan lebih banyak pejabat akan dibuka semula dan aktiviti rentas negeri dipergiatkan, lokasi strategik dan ideal UELC kami yang berdekatan kawasan perumahan juga akan memanfaatkan mereka yang menetap di kawasan Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dengan pengoperasian PPV ini, pihaknya menyasarkan untuk memberikan sehingga 1,500 dos vaksin Pfizer-BioNTech, setiap hari.

"Kami berharap dengan ini, masyarakat akan dapat meneruskan kehidupan seharian dan Insya-Allah, negara kita akan dapat meneruskan usaha pemulihan ekonomi dan sosial," katanya.

Sebelum ini, UEM Edgenta sudah mengubah suai UELC menjadi CAC swasta yang menggunapakai QuickMed sebagai nadi penggeraknya dan dilengkapi makmal bergerak Polymerase Chain Reaction (PCR), pusat saringan dan peralatan canggih untuk mengurangkan kesesakan di CAC lain.

Ia sudah menyaring hampir 4,000 pesakit Covid-19 sepanjang tiga bulan operasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 7:01 AM