Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Belanjawan 2022 akan menjadi asas bagi usaha pemulihan dan pembaharuan jangka panjang Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, PPN akan menetapkan negara ke jalan menuju pemulihan, berdasarkan sains dan data.

"Perjalanan menuju pemulihan juga akan disokong oleh Belanjawan 2022 yang diperluas dan menjadi asas bagi usaha reformasi jangka panjang kerajaan," katanya.

Menurutnya, ketika ini, negara menghampiri kadar 100 peratus penduduk dewasa divaksin sepenuhnya yang dianggarkan menjelang akhir bulan ini, selain dalam tempoh terdekat, PPN akan dikemas kini untuk mempersiapkan Malaysia ke arah kehidupan normal selanjutnya dengan Covid-19 menjadi endemik.

"Belanjawan 2022 akan meneruskan landasan pemulihan negara dengan meletakkan asas pembaharuan kerajaan yang meluas bagi jangka panjang.

"Secara bersama, PPN dan Belanjawan 2022 akan membentuk blok untuk usaha pemulihan dan pembaharuan jangka panjang Malaysia melalui RMK-12," katanya pada ucapan penutup Forum Megatrends Khazanah 2021 (KMF 2021) yang diadakan secara maya, semalam.

Tengku Zafrul berkata, usaha pemulihan mesti dilaksanakan bukan saja untuk menangani Covid-19, tetapi juga untuk muncul dengan lebih berdaya tahan pasca pandemik.

Katanya, dalam mencapai tujuan jangka pendek untuk mencegah kemelesetan ekonomi, negara juga mesti mengambil kesempatan untuk menangani masalah struktur dalam jangka masa sederhana dan panjang.

"Infrastruktur digital juga sangat penting terutama dalam mengurangkan ketaksamaan antara bandar dan luar bandar," katanya.

Dalam pada itu, mengenai pelaksanaan RMK-12, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan komited untuk menyediakan perbelanjaan pembangunan negara seperti yang ditetapkan dalam pelan lima tahun itu.

"Tempoh lima tahun ini akan menyaksikan peralihan penting kepada amalan ekonomi yang lebih mampan.

"Secara keseluruhan, rancangan lima tahun itu menyasarkan pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, menjadikan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita RM57,882 atau AS$14,842 pada 2025, dengan pekerjaan penuh.

"Dalam RMK-12, satu matlamat utama adalah mencapai 45 peratus pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, berbanding paras intensiti 2005," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:02 AM