MENERUSI penggunaan teknologi,    ia  menambah baik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti.
MENERUSI penggunaan teknologi, ia menambah baik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti.

EKONOMI digital, infrastruktur digital dan produktiviti antara faktor penting yang perlu dijadikan fokus utama kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 bagi memulihkan pertumbuhan negara menjangkaui pandemik Covid-19, sekali gus mendukung ekonomi berpendapatan tinggi seawal 2024.

Dalam Laporan Bank Dunia: Aiming High - Navigating the Next Stage of Malaysia's Development, pendapatan negara kasar (PNK) perkapita Malaysia berada pada AS$11,200, hanya kurang AS$1,335 daripada tahap ambang semasa yang menentukan peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Menurut Bank Dunia, kemajuan ke paras tahap ambang menjadi perlahan susulan kesan daripada Covid-19 namun Malaysia berpeluang melaksanakan reformasi jelas untuk mengekalkan pertumbuhan masa depan.

Mengulas mengenainya, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, kerajaan komited terus menilai kualiti, keterangkuman dan kesinambungan pertumbuhan Malaysia pada masa depan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Keupayaan perniagaan mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi meningkatkan kecekapan dan seterusnya memacu perniagaan dalam jangka panjang.

"Selain itu, penggunaan automasi disokong latihan dan peningkatan kemahiran pekerja sedia ada mengoptimumkan produktiviti dan menjana pertumbuhan ekonomi kukuh," kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, perniagaan juga perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui digitalisasi dan mempertimbang untuk mempercepatkan adaptasi pendigitalan dalam usaha meningkatkan daya tahan, di samping mengoptimumkan proses perniagaan.

Menurutnya, dalam hal ini, infrastruktur teknikal mapan, disokong proses digitalisasi pintar merupakan komponen kritikal dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Menerusi penggunaan teknologi, Mohd Uzir berkata, ia menambah baik kecekapan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka sederhana dan panjang.

"Peningkatan dalam pengeluaran dan produktiviti menghasilkan keuntungan, dan dengan itu, mengekalkan perniagaan serta pekerjaan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

"Industri berintensifkan modal serta mengadaptasi automasi dilihat lebih berdaya tahan berbanding industri berintensifkan buruh.

"Bagi industri berintensifkan modal, melalui penggunaan automasi, penyesuaian operasi perniagaan dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya menghadapi krisis dan dapat mengekalkan produktiviti dalam kalangan pekerja," katanya.

Beliau berkata, dalam hal ini, industri perlu memanfaatkan krisis ini dengan melaksanakan inovasi ke arah norma perniagaan baharu.

Ia adalah titik perubahan sesuai kepada industri untuk mengadaptasi Revolusi Industri 4.0 dalam meningkatkan rantaian nilai untuk mencapai nilai ditambah lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:30 AM