KUALA LUMPUR. FOTO Arkib NSTP
KUALA LUMPUR. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PENSTRUKTURAN semula ekosistem perniagaan dan industri antara tujuh teras strategik dalam buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang menggariskan 14 cadangan strategi bagi mencapai status negara maju.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad hari ini, buku WKB2030 yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), menyatakan walaupun pertumbuhan ekonomi di Malaysia pada dasarnya masih kukuh dan memberangsangkan, namun masih banyak penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.

Menurut MEA, penstrukturan itu penting memandangkan terdapat jurang yang besar antara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan syarikat besar tempatan dan multinasional. Jurang yang wujud adalah seperti tahap penggunaan teknologi serta kemampuan meneroka industri baharu dan meningkatkan produktiviti.

Sehubungan itu, antara 14 cadangan strategi yang digariskan bagi menyelesaikan permasalahan yang dikenal pasti adalah memperkukuh rantaian bekalan serta membangunkan vendor PKS untuk memacu pertumbuhan PKS; mengkaji, merasionalisasi dan menambah baik program pembangunan keusahawanan termasuk membantu perusahaan Bumiputera agar lebih berdaya saing.


Strategi itu turut meliputi mengenal pasti dan memeta syarikat peneraju dalam rantaian bekalan perniagaan dan industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi bagi membolehkan PKS menceburi industri hiliran berkaitan.

Ia juga menekankan kerjasama yang lebih giat antara syarikat besar dengan PKS melalui persatuan perniagaan berasaskan kluster industri dengan menggalakkan syarikat besar menggunakan input, produk atau perkhidmatan daripada PKS; meningkatkan penglibatan usahawan kecil dan rintis dalam ekonomi digital yang menghasilkan produk inovasi dan harta intelek bernilai ditambah tinggi;

Strategi lain adalah memperluas aktiviti pembuatan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi; membangunkan program yang menyeluruh merangkumi semua peringkat dalam membudayakan teknologi dan automasi selari dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dalam penghasilan inovasi baharu.

Teras strategik itu turut menyasarkan PKS dan perniagaan mikro menyumbangkan 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); mewujudkan 30 peratus daripada jumlah syarikat PKS dalam bidang teknologi tinggi yang intensif dalam pembuatan dan perkhidmatan subsektor; sekurang-kurangnya 20 peratus PKS Bumiputera dalam setiap subsektor berintensifkan teknologi tinggi; dan PKS Bumiputera menyumbangkan sebanyak 20 peratus kepada KDNK.

Sementara itu, enam teras strategik yang lain adalah Aktiviti Pertumbuhan Utama Ekonomi (KEGA); Transformasi Modal Insan; Pengukuhan Pasaran Buruh & Peningkatan Pampasan Pekerja: Kesejahteraan Sosial; Keterangkuman Wilayah: dan Modal Sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 11:29 AM