MOHD Fazrulhisyam menunjukkan alat pengujian emas di NMIM, Bandar Baru Salak Tinggi.
MOHD Fazrulhisyam menunjukkan alat pengujian emas di NMIM, Bandar Baru Salak Tinggi.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik

MENGEJUTKAN apabila alat pengujian logam berharga di pasaran tidak dapat mengesan kehadiran bendasing dalam emas, sekali gus mendedahkan pengguna kepada lebih banyak taktik penipuan tanpa disedari.

Perkara itu didedahkan Institut Metrologi Kebangsaan (NMIM) Sirim Berhad yang membuat beberapa kajian ke atas logam berharga di pasaran.

Metrologis Kanan NMIM Sirim Berhad Mohd Fazrulhisyam Mohd Nor berkata, kebanyakan masalah yang dibangkitkan pengguna membabitkan nilai karat tidak sama seperti dalam sijil yang dikeluarkan ketika pembelian.

“Timbul kekeliruan dalam kalangan pengguna apabila emas yang dibeli mempunyai mutu ketulenan emas berbeza dengan peralatan pengujian ketulenan emas.

“Contohnya apabila hantar gelang di pajak gadai, pemeriksaan menggunakan densimeter menunjukkan hanya 10 karat sedangkan dalam sijil nilai diletakkan 20 karat.

“Kami juga membuat kajian sendiri, cincin 916 sepatutnya nilainya 22 karat, tetapi kita gunakan beberapa instrumen termasuk X-Ray Fluorescence (XRF) dan Hydrostatic weighing system (HWS) mendapati cincin itu hanya 10 karat sama juga macam jongkong emas sepatutnya 24 karat, tetapi bila kita periksa hanya 23 karat.

“Ada juga kita terima daripada satu premis pajak gadai yang mana pada bahagian luar emas, tetapi dalamnya tungsten,” katanya.

Menurutnya, taktik penipuan menggunakan tungsten dalam emas masih lagi berleluasa berikutan kelemahan alat digunakan di pasaran, densimeter tidak dapat menentu sahkan nilai kandungan karat emas.

“Tungsten popular digunakan dalam pancing ikan bagi tujuan memberatkan peralatan itu ke dasar, tetapi turut dijadikan sebagai satu taktik penipuan dalam industri emas.

“Densimeter yang digunakan di kebanyakan premis pajak gadai dan ar Rahnu di Malaysia tidak dapat mengesan kehadiran tungsten.

“Taktik menyalut bahan logam lain atau tungsten dalam emas ini berlaku di seluruh dunia terutama industri China, malah di era teknologi canggih ini ia berkembang dan mudah didapati pengguna menerusi jualan di portal dan website.

“Penipuan ini dikesan berlaku di Malaysia sejak awal 2000, malah ia mudah dikesan di negara ini disebabkan kita mempunyai banyak pajak gadai,” katanya.

Katanya, di luar negara contohnya India dan United Kingdom, mereka mempunyai piawaian dan peraturan tanda rasmi ditimbulkan pada setiap logam berharga bagi mengesahkan ketulenannya sebelum dijual.

“Di India mereka ada lima simbol di setiap emas antaranya ketulenan, pihak yang cop emas itu, pengilang dan tahun dibuat,” katanya.

Berita berkaitan

Silap mata logam kilau

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:20 AM