TENGKU Zafrul. FOTO BERNAMA
TENGKU Zafrul. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyarankan supaya institusi kewangan pembangunan (DFI) memberi sokongan penuh kepada negara di dalam tempoh pemulihan ini, terutama sekali kerana objektif DFI adalah untuk membantu membangunkan sosioekonomi rakyat.

Beliau berkata dalam merangka strategi pemulihan ekonomi negara, Kementerian Kewangan (MoF) berpandangan bahawa DFI memainkan peranan yang strategik dan penting dalam usaha negara untuk memulih dan memelihara kapasiti perniagaan yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan menyokong kehidupan rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tengku Zafrul berkata ini adalah sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia.

"Sokongan segera – contohnya dari segi pembiayaan – perlu diberi bagi menghindari impak ekonomi jangka panjang terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam sektor-sektor strategik termasuk sektor pelancongan, peruncitan, pertanian, infrastruktur, maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif.

"Oleh itu, DFI disarankan untuk merangka penyelesaian yang praktikal seperti penggunaan kriteria pembiayaan yang kurang membebankan untuk membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin," katanya.

Katanya, cadangan penyelesaian ini juga akan dipertimbangkan di dalam merangka Bajet 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 4:30 PM