WAN Junaidi pada majlis penyampaian sumbangan daripada insiatif BR Didik Digital.
WAN Junaidi pada majlis penyampaian sumbangan daripada insiatif BR Didik Digital.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Rakyat melancarkan inisiatif BR Didik Digital dengan kerjasama Yayasan Telekom Malaysia (YTM) bagi membantu pelajar dari keluarga asnaf dan B40 mendapatkan akses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat menyumbangkan peranti kepada 240 pelajar asnaf berumur tujuh hingga 17 tahun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM105,000.

YTM pula menyumbang 740 kad SIM unifi Mobile #Bebas yang bernilai lebih RM180,000 kepada pelajar sekolah dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Medac menyambut baik kerjasama antara Bank Rakyat dengan YTM melalui program BR Didik Digital ini.

"Pada waktu sukar di era pasca-Covid-19 ini, ramai yang masih terkesan terutama pelajar.

"Tidak semua bernasib baik dan berkemampuan untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu ini.

"Justeru, jalinan kerjasama strategik sebegini diharapkan dapat menyokong sesi pembelajaran mereka," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, program BR Didik Digital ini seiring dengan Transformasi Sistem Pendidikan Negara ke arah Sistem Pendidikan Digital yang bertujuan meningkatkan kemahiran guru dan pelajar dalam aspek penggunaan peralatan teknologi maklumat.

Katanya, sumbangan tablet serta data internet ini selaras dengan Pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25).

Sebanyak 240 peranti diserahkan kepada pelajar asnaf manakala 240 pelajar lain akan menerima pakej data internet unifi Mobile #Bebas secara percuma selama setahun.

Penyerahan akan dilakukan secara berperingkat ke sembilan sekolah yang dikenal pasti.

Program ini turut memberikan pakej data internet percuma selama setahun kepada 500 pelajar daripada 10 MRSM.

Sementara itu, seramai 20 pelajar asnaf daripada tiga sekolah iaitu SMK Bako, SMK Lundu, dan SMK Santubong, Kuching masing-masing menerima sumbangan tablet manakala 20 pelajar lain menerima kad sim unifi Mobile #Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 7:01 AM