Aeon bakal tubuhkan bank digital untuk kemudahan kewangan pengguna.
Aeon bakal tubuhkan bank digital untuk kemudahan kewangan pengguna.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Aeon Co (M) Berhad (Aeon) komited menyediakan kemudahan kewangan kepada rakyat dengan lebih baik secara lestari dan inklusif melalui penubuhan perbankan digital.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin berkata, kumpulan melalui Aeon Credit Service (M) Berhad sudah memohon lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

"Perbankan digital Aeon ini bakal ditubuhkan tidak lama lagi dan kami menjangkakan ia mampu merubah landskap bagi melebarkan sokongan kepada kumpulan yang kurang mendapat perhatian serta golongan yang tidak mempunyai kemudahan perbankan.

"Bank digital ini dapat memberi dorongan untuk digandingkan dengan ekosistem Aeon secara holistik," katanya dalam Majlis Pelancaran Aeon Sayap Bagimu secara maya, hari ini.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Malaysia, Shafie Shamsuddin.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Malaysia, Shafie Shamsuddin.

Shafie berkata, cadangan penubuhan bank digital itu dibuat berikutan Aeon melihat belum ada peserta yang dapat mengintegrasi rantaian inklusif di bawah satu bumbung.

"Buat masa kini, belum lagi ada pemain yang dapat mengintegrasi rantaian permintaan melalui peruncitan fizikal dan digital serta rantaian bekalan melalui hubungan akrab bersama pembekal baikn yang besar mahupun dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Dengan itu, kita dapat bayangkan bagaimana bank digital Aeon mampu membuka peluang baharu bagi semua pemain ekosistem (peruncitan)," katanya.

Dalam pada itu, Shafie berkata, Aeon menerusi visinya turut komited menjadi konduktor yang dapat menambah baik masyarakat dan industri sebagai pemain ekosistem yang menyeluruh.

"Keupayaan untuk mengintegrasikan kemampuan perbankan dengan ekosistem pelanggan, baik daripada pandangan pengguna mahupun pengeluar, akan menjadi perintis di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Aeon melalui Yayasan Aeon Malaysia (MAF) melancarkan inisiatif Sayap Bagimu bagi membantu pelajar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mendapatkan akses pendidikan yang sempurna.

Shafie yang juga Timbalan Presiden MAF berkata, Aeon menyumbang RM1 juta dalam peruntukan pengagihan 2,000 unit peranti elektronik kepada pelajar Tingkatan 5 daripada keluarga B40 yang layak di tujuh negeri.

"Inisiatif ini turut menampilkan kerjasama bersama Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi Yayasan TM dengan menyediakan sambungan internet mudah alih unifi Mobile secara percuma selama 12 bulan kepada pelajar.

"Yayasan Peneraju juga turut terbabit memberikan sokongan dari segi pengendalian program tuisyen percuma dalam talian selama tiga bulan menerusi Yayasan Sukarelawan Siswa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:02 PM