WAN Roslan (tengah) bersama kakitangannya.
WAN Roslan (tengah) bersama kakitangannya.
Oleh Hajar Umira Md Zaki

AGENSI pekerjaan MLMS Sdn Bhd (MLMS) dalam usaha membuka ruang kepada majikan bagi memberi peluang pekerjaan sejajar pendaftaran pekerja yang semakin meningkat.

Pengarah syarikatnya, Wan Roslan Wan Othman berkata, pihaknya menerima banyak pendaftaran pekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, namun jumlah pendaftaran majikan berkurangan.

"Di MLMS, kami menyediakan dua platform bagi memudahkan majikan memilih kriteria pekerja yang mereka ingini iaitu My Local Maid dan Go Kijo.

"Majikan yang mendaftar menerusi platform berkenaan boleh memilih kriteria pekerja yang mereka mahu dari segi masa dan umur pekerja," katanya.

Menurutnya, inisiatif platform ini dibuka bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia memenuhi pekerjaan di dalam negara dari terus dipelopori warga asing.

Katanya, dengan kemudahan platform berkenaan, pihaknya merevolusikan cara pemilihan pekerja dengan cara hanya di hujung jari secara dalam talian kecuali jika ada permintaan.

"Menerusi maklumat terbaru kami, lebih 3,000 pendaftaran pekerja untuk My Local Maid diterima, dan 5,000 bagi platform Go Kijo di seluruh Malaysia.

"My Local Maid dibuka kepada wanita dan mempunyai dua kategori iaitu sepenuh masa dan separuh masa," katanya.

Bagi pembantu rumah sepenuh masa, gaji yang ditawarkan adalah antara RM1,200 hingga RM2,000, namun untuk pekerja separuh masa, mereka boleh mendapat bayaran sehingga RM44 bagi tempoh dua jam.

Sementara itu, platform Go Kijo adalah khusus untuk mereka yang kehilangan punca pendapatan dan boleh memohon pekerjaan sebagai pemandu dan buruh.

Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi mencari golongan susah yang memerlukan pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 7:10 AM