MOHD Jeffrey (kanan) diiringi Pung Kian Chuan (kiri) dalam lawatan kerja ke kawasan penginapan Wearsafe (Malaysia) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Meru, Kapar. FOTO BERNAMA
MOHD Jeffrey (kanan) diiringi Pung Kian Chuan (kiri) dalam lawatan kerja ke kawasan penginapan Wearsafe (Malaysia) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Meru, Kapar. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain

MAJIKAN di negara ini digesa menyediakan kemudahan penginapan pekerja mengikut spesifikasi dan mematuhi kriteria dalam Garis Panduan Standard Minimum Penyediaan Penginapan Pekerja Asing.

Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd Jeffrey Joakim berkata, penyediaan kemudahan perumahan pekerja mengikut standard ditetapkan undang-undang, bukan sahaja menjadikan tempat itu selamat didiami malah boleh meningkatkan produktiviti pekerja.

"Saya harap apa yang kita lihat hari ini menjadi contoh kepada majikan lain dalam apa juga sektor yang menggajikan pekerja khususnya pekerja asing.

"Produktiviti pekerja yang meningkat boleh membantu daya tahanan syarikat itu sendiri. Pekerja gembira apabila kebajikan dipelihara sekaligus menyumbang produktiviti syarikat. Pada masa sama wujud hubungan harmoni majikan dengan pekerja.

"Penyediaan penginapan dan kemudahan asas mengikut piawaian bukan sahaja menjadi mekanisme dalam meningkatkan dan mempromosikan budaya kerja industri yang kondusif dan berdaya saing tetapi juga memberikan persekitaran yang harmoni, selamat, bersih dan selesa. Ini penting dalam memastikan pekerja sentiasa bermotivasi dan proaktif, " katanya selepas lawatan kerja ke kawasan penginapan Wearsafe (Malaysia) Sdn Bhd di Taman Perindustrian Meru, Kapar.

Turut hadir, Pengurus Besar Operasi Wearsafe (Malaysia) Sdn Bhd, Pung Kian Chuan.

Mohd Jeffrey berkata, penginapan pekerja ini dipilih untuk lawatan kerja kerana menjadi penginapan yang diiktiraf sebagai contoh kepada penyediaan kemudahan penginapan pekerja yang mengikut spesifikasi dan mematuhi kriteria digariskan.

"Majikan digesa mencontohi syarikat Wearsafe memandangkan pematuhan kepada standard minimum penyediaan penginapan pekerja adalah menjadi kriteria penting dalam membuat permohonan dan mendapatkan perakuan JTKSM ketika menggaji pekerja asing.

"Bagi saya tempat ini terbaik dan saya berbangga dengan apa yang disediakan untuk pekerja di sini bukan sahaja kebajikan pekerja warga asing tetapi pekerja tempatan," katanya.

MOHD Jeffrey (dua, kanan) melawat asrama pekerja pekerja Wearsafe. FOTO BERNAMA
MOHD Jeffrey (dua, kanan) melawat asrama pekerja pekerja Wearsafe. FOTO BERNAMA

Beliau berkata, pelbagai aspek dititikberatkan sewaktu lawatan termasuk standard keluasan bilik, kemudahan prasarana, tempat riadah, pengudaraan baik, bilik tidur, alat keselamatan kebakaran, almari berkunci, tempat simpan dokumen pekerja.

"Ada majikan yang menyediakan penginapan namun masih ada tidak menepati spesifikasi dan garis panduan itu, ini kita sudah pantau dan akan ambil tindakan penguatkuasaan," katanya.

Katanya, Akta Standard Minimum Perumahan, Dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) diluluskan di Dewan Rakyat (15 Julai 2019) dan di Dewan Negara (31 Julai 2019) bertujuan memperluaskan standard minimum perumahan dan penyediaan kemudahan asas bagi pekerja dalam semua sektor pekerjaan dan terpakai kepada semua pekerja yang disediakan penginapan atau perumahan tanpa mengira kewarganegaraan tempatan atau asing," katanya.

Dalam pada itu katanya, dari segi dasar pihaknya memberi kebenaran kepada majikan memotong minimum RM50 sebulan daripada gaji pekerja bagi tujuan penginapan yang disediakan itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Pung Kian Chuan berkata, pembinaan penginapan itu menelan belanja sebanyak RM8 juta dan siap dibina pada 2018.

"Pada awal 2019, tempat ini mula didiami pekerja membabitkan kira-kira 1,000 pekerja Wearsafe.

"Di sini segala kemudahan disediakan di setiap bilik ada bilik mandi, tandas, lokar sendiri, katil, tempat menyidai baju dan boleh diduduki 12 pekerja setiap bilik.

"Kita juga menyediakan surau, kantin, dewan riadah, tempat letak basikal, gelanggang badminton. Ada dua blok, setiap blok ada tiga tingkat, terletak sejauh 300 meter dari tempat kerja mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 3:16 PM