FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Bank-bank akan menawarkan enam bulan moratorium untuk bayaran ansuran semua kemudahan kredit kecuali kad kredit untuk peminjam dan pelanggan secara permohonan.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dalam kenyataan bersama berkata, mereka yang layak ialah semua peminjam individu termasuk golongan B40, M40 dan T20.

Selain itu katanya, semua perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

"Untuk kad kredit, bank akan menawarkan untuk menukarkan baki tunggakan kepada pinjaman/pembiayaan selama tiga tahun dengan kadar keuntungan/faedah dikurangkan bagi membantu peminjam menguruskan hutang mereka dengan lebih baik.

"Di bawah skim ini, peminjam hanya perlu menghubungi bank mereka untuk memilih moratorium ini dan kelulusan akan diberi secara automatik kepada semua peminjam yang termasuk dalam kategori dinyatakan.

"Bank komited untuk menjadikan prosesnya semudah dan selancar yang boleh tanpa perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan bagi tujuan kelulusan," katanya.

Katanya, moratorium automatik itu terpakai untuk pinjaman/pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021 dan tiada tunggakan lebih daripada 90 hari pada tarikh permohonan moratorium diserahkan kepada bank.

Katanya, pelanggan yang ingin mengambil moratorium ini perlu menghubungi bank mereka bermula 7 Julai ini.

"Oleh kerana sekatan pergerakan masih diteruskan, pelanggan amat digalakkan untuk menghubungi bank mereka melalui saluran digital rasmi seperti laman web bank, e-mel atau melalui telefon.

"Sekiranya pelanggan tidak dapat menggunakan saluran digital bank, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk mengemukakan permintaan mereka untuk moratorium.

"Namun, mereka disarankan untuk memeriksa terlebih dulu di laman web bank masing-masing untuk mendapatkan maklumat mengenai perubahan waktu operasi atau pengaturan untuk perkhidmatan di kaunter berikutan sekatan pergerakan yang masih berjalan," katanya.

Bank akan berusaha untuk memproses semua permintaan moratorium secepat mungkin, katanya.

"Namun, memandangkan jumlah permintaan yang besar dan kekangan akibat sekatan pergerakan terhadap protokol kerja di mana semua bank anggota beroperasi, mungkin terdapat beberapa cabaran operasi pada permulaannya.

"Pelanggan tidak perlu bimbang dengan komitmen penuh oleh ahli bank untuk memastikan semua masalah akan ditangani tepat pada waktunya.

"Selain itu, seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan akan kekal tidak terjejas dengan pemilihan moratorium ini.

"Justeru, mereka tidak perlu bimbang dengan kesan terhadap profil kredit masa depan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:22 PM