PERMINTAAN Perodua Ativa kekal kukuh dengan purata tempahan harian sebanyak 290 unit.
PERMINTAAN Perodua Ativa kekal kukuh dengan purata tempahan harian sebanyak 290 unit.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: UMW Group merekodkan jualan tinggi dalam automotif bagi April 2021 menerusi syarikatnya, UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dengan mencatatkan jualan sebanyak 29,679 kenderaan bagi bulan terbabit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya teruja dengan jualan kukuh dicatat oleh UMWT dan Perodua.

"Model yang baru dilancarkan diterima dengan baik oleh pelanggan kami, ia yang membawa kepada jualan yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, syarikat melakukan yang terbaik untuk meningkatkan pengeluaran untuk memastikan penghantaran sampai tepat pada masanya kepada pelanggan.

Namun, katanya, kekurangan cip semikonduktor mempengaruhi pengeluaran Perodua dan ia sedang mencari pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah terbabit.

"Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan mereka terhadap produk dan perkhidmatan syarikat ini," katanya.

UMWT mencapai jualan sebanyak 9,280 unit pada April 2021, 12.7 peratus lebih tinggi daripada 8,232 unit yang dicatatkan pada Mac 2021 dalam persekitaran permintaan yang tinggi untuk Toyota Corolla Cross dan Toyota Harrier yang baru dilancarkan.

Toyota Vios, Yaris dan Hilux terus menjadi model terlaris UMWT.

"Toyota Fortuner dan Innova yang dipertingkatkan juga memberikan sumbangan positif terhadap jualan bulan April.

"Untuk empat bulan pertama tahun ini, UMWT menjual sebanyak 26,431 kenderaan, jauh lebih tinggi daripada 10,596 unit yang direkodkan pada tempoh sama pada tahun 2020 yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pertama (PKP 1.0). UMWT menyasarkan menjual sebanyak 62,000 unit pada 2021," katanya.

Sementara itu, syarikat bersekutu UMW, Perodua, mencatatkan jualan 20,399 unit pada April 2021, lebih rendah daripada 24,431 unit yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Ia disebabkan oleh kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan buruk kepada industri automotif.

"Permintaan untuk Perodua Ativa yang dilancarkan pada 3 Mac lalu kekal kukuh dengan purata tempahan harian sebanyak 290 unit. Perodua menjual sebanyak 4,624 unit Ativa pada April menjadikan jumlah keseluruhan sejak dilancarkan kepada hampir 9,000 unit," katanya.

Untuk empat bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 78,304 kenderaan, naik 73.9 peratus daripada 45,034 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada tahun 2020 yang terjejas akibat PKP 1.0.

Perodua menyasarkan menjual 240,000 unit tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 7:00 AM