TOYOTA Veloz. FOTO arkib NSTP
TOYOTA Veloz. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jualan automotif UMW Group meningkat pada Oktober 2022 apabila kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua mencatatkan serahan sebanyak 35,130 unit pada Oktober 2022, empat peratus lebih tinggi berbanding 33,859 unit yang didaftarkan pada September 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, jualan yang lebih tinggi itu direkodkan kerana kedua-dua syarikat berkenaan terus memenuhi tempahan tertunggak yang menggalakkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, kumpulan itu menjangkakan momentum jualan akan berterusan terutamanya dalam tempoh dua bulan terakhir tahun ini dipacu oleh promosi akhir tahun.

"Disokong oleh tempahan menggalakkan dan rantaian bekalan yang bertambah baik, kedua-dua syarikat akan terus meningkatkan pengeluaran untuk mempercepatkan serahan. Tanpa mengambil kira situasi yang tidak dijangka, kami yakin dapat mencapai sasaran jualan bagi tahun ini," katanya.

Bagi tempoh 10 bulan pertama 2022, UMW Group menyerahkan sejumlah 302,356 unit, 50 peratus lebih tinggi daripada 201,569 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2021 yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dari 1 Jun hingga 15 Ogos 2021.

UMWT mencatat jualan tertinggi bagi 2022 dengan serahan sebanyak 9,281 unit pada Oktober 2022, meningkat sedikit berbanding 9,233 unit yang dicatatkan pada September 2022.

Sehingga Oktober 2022, UMWT mencatatkan 80,153 unit, pertumbuhan sebanyak 47 peratus berbanding 54,618 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama 2021.

UMWT melancarkan Toyota Veloz pada 18 Okt lalu dan memperoleh lebih 7,000 tempahan setakat ini.

Momentum jualan juga berterusan kukuh di Perodua dengan pendaftaran sebanyak 25,849 unit pada Oktober 2022, lima peratus lebih tinggi daripada 24,626 unit yang didaftarkan pada September 2022.

Tiga model teratas Perodua yang dijual pada Oktober ialah Bezza, diikuti oleh Myvi dan Axia.

Jualan Perodua melonjak 51 peratus kepada 222,203 unit dalam tempoh 10 bulan pertama 2022 berbanding 146,951 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada 2021.

Perodua berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan sebanyak 247,800 unit bagi tahun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 6:20 PM