FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bahawa peruntukan tambahan sebanyak RM700 juta untuk Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menjadikan jumlah keseluruhan ADF meningkat kepada RM1 bilion.

ADF yang ditubuhkan pada bulan Mac tahun 2020, bertujuan untuk menggalakkan PKS di semua sektor mengautomasi proses dan mendigitalkan operasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, ADF terbuka kepada semua PKS Malaysia, dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM3 juta bagi setiap PKS dan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.

"Kadar pembiayaan adalah hingga 4.0 peratus setahun, termasuk yuran jaminan.

"Perlindungan jaminan disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP)," katanya.

Menurutnya, kemudahan ini disediakan hingga 31 Disember 2021 atau selepas peruntukan digunakan sepenuhnya, mana yang lebih awal.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) hari ini berkata, BNM telah meningkatkan peruntukan RM700 juta bagi membantu PKS melalui ADF.

Ia juga meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak RM2 bilion.

Ia secara tidak langsung menjadikan jumlah kemudahan yang disediakan oleh BNM untuk manfaat PKS adalah sebanyak RM6 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 9:06 PM