KAMAL
KAMAL

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd (Celcom) mengukuhkan pertumbuhan perniagaan dan memperkasa transformasinya sebagai peneraju teknologi digital menerusi pelantikan beberapa pengurusan kanan baharu.

Ia mengumumkan pelantikan Datuk Kamal Khalid sebagai Ketua Pegawai Korporat dan Transformasi berkuat kuasa 1 Februari 2021.

Kamal akan memimpin beberapa fungsi korporat termasuk perundangan, kawal selia, pembangunan masyarakat, kelestarian, tadbir urus data perusahaan dan pengurusan program.

Beliau mempunyai pengalaman selama 25 tahun dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd sehingga 31 Mac 2020.

Kamal memulakan kerjayanya di Bumiputra Merchant Bankers dan beberapa syarikat lain dalam bidang teknologi dan pembiayaan ekuiti persendirian sebelum menyertai Bursa Saham Kuala Lumpur (Bursa Malaysia) pada Julai 1998.

Celcom turut mengukuhkan barisan pengurusan dengan pelantikan baharu bagi unit teknologi dan komersial dengan melantik Afizulazha Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (Teknologi); Allan Bonke sebagai Ketua Pegawai Komersil dan Pravind Menon sebagai Ketua Bahagian Risiko dan Pematuhannya.

Afizulazha bertanggungjawab dalam memimpin pelbagai fungsi teknologi secara keseluruhan. Allan pula akan mengetuai semua unit yang menjana hasil, bersama fokus dalam memperkukuh tawaran nilai dan persaingan Celcom dalam pasaran.

Manakala, Pravind akan membawa lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perundangan, etika, dan pematuhan dalam pelbagai industri pada peringkat Asia Pasifik, meliputi bidang farmaseutikal, tenaga, dan barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Celcom, Idham Nawawi dalam kenyataan berkata, pelantikan itu mencerminkan iltizam Celcom bagi terus membawa bakat yang terbaik di pasaran tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, ia akan memacu usaha ke arah menjadi sebuah syarikat digital berprestasi tinggi yang fokus dalam membangun pendapatan dan pertumbuhan bahagian pasaran yang mampan.

"Di sebalik cabaran pandemik ketika ini, perjalanan kami dalam transformasi dan digitalisasi terus memastikan setiap aspek perrniagaan dijalankan dengan amalan terbaik dalam tadbir urus dan pematuhan.

"Kumpulan juga akan mempertingkatkan keselamatan siber dan sentiasa melindungi data pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:01 AM