Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Inix Technologies Holdings Bhd (Inix) melalui anak syarikat milik penuhnya, Inix Network Sdn Bhd (Inix Network) sudah mendaftar permohonan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan pihaknya mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dari China.

Inix perlu mendapatkan kelulusan NPRA sebelum vaksin berkenaan boleh digunakan di Malaysia.

Inix dalam satu kenyataan berkata, vaksin Covid-19 yang bakal diedarkan kumpulan akan diperoleh daripada Sinovac Biotech Co Ltd, Cansino Biologics Inc dan Sinopharm China National Biotech Group Co Ltd (CNBG).

"Pendaftaran dengan NPRA penting untuk pengedaran vaksin di Malaysia. Kerajaan sudah memastikan hanya vaksin yang memenuhi syarat KKM akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.

"Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk NPRA dan pihak berkuasa kawalan ubat untuk kelulusan sebelum vaksin Covid-19 dapat digunakan," katanya.

Inix menyasar memulakan operasi pembekalan vaksin Covid-19 seawal suku pertama tahun ini.

Kumpulan itu juga dalam proses meneroka perniagaan baru dalam sektor sarung tangan getah,

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, berkata, 60 peratus sehingga 70 peratus atau sekitar 23 juta rakyat perlu diberikan vaksin Covid-19.

Ketika ini kerajaan sudah menandatangani perjanjian awal dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca untuk mendapatkan bekalan vaksin itu.

Malaysia juga berada di tahap akhir rundingan dengan Sinovac, Cansino dan Gamaleya untuk mendapatkan bekalan vaksin yang bakal digunakan 80 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

"Apabila Inix mendapat persetujuan dari KKM, kumpulan dapat mengimport vaksin dan memberikan kepada KKM untuk melakukan Percubaan Klinikal Fasa 3, di mana ia akan ditaja sepenuhnya oleh kumpulan.

"Percubaan klinikal pertama di Malaysia ini dijangka membabitkan sekitar 3,000 sukarelawan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 11:46 AM