Lizam Ridzuan


HONDA Malaysia melancarkan model Honda City Serba Baharu yang dijangka menjadi 'game changer' dalam segmen-B.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Toichi Ishiyama berkata, model terbaharu ini menawarkan teknologi termaju dan prestasi tiada tandingan.

"Kami menyasarkan jualan sebanyak 3,000 unit sebulan untuk model ini. Sehingga kini, 5,000 unit sudah ditempah sejak mula dibuka September lalu.

"Malaysia juga menjadi negara pertama di dunia yang melancarkan varian City RS e:HEV Serba Baharu yang mana kami menyasarkan jualan sebanyak 500 unit sebulan sebaik harga untuk model ini diumumkan pada Januari 2021," katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, hari ini.

Honda City RS ialah model yang dijana rangkaian kuasa Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) pacuan elektrik, hibrid dan enjin dengan kuasa 108PS dan tork paling tinggi dalam kelasnya iaitu 253Nm.

Selain City RS, tedapat tiga lagi varian yang ditawarkan terdiri daripada V, E dan S dengan enjin 1.5L DOHC i-VTEC baharu dengan kuasa 121PS dan tork maksimum 145Nm.

Rekaan Honda City Serba Baharu generasi kelima ini dengan 111 milimeter (mm) lebih panjang, 54 mm lebar dan 10 mm lebih rendah daripada model terdahulu.

Varian RS e:HEV dilengkapi gril hadapan baharu hitam berkilat, lip hadapan baharu dengan corak karbon dan bampar belakang dengan 'spoiler' yang tampil sporty.

HONDA City serba baharu.
HONDA City serba baharu.

Selain itu, untuk dua varian teratas, pelanggan akan menerima ciri kamera Honda Lane Watch dan untuk RS ia dilengkapi tujuh sistem bantu pemandu termaju melalui Honda Sensing.

Untuk pasaran Malaysia Honda City Serba Baharu dijual pada harga RM74,191 (S), RM81,664 (E) dan RM86,561 (V) (semua harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan sehingga Disember 2020).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 3:59 PM