Honda Civic e:HEV.
Honda Civic e:HEV.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) menerusi pengedarnya, MH Prestige Auto menyerahkan Honda Civic e:HEV RS kepada pemilik pertama model itu di negara ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HMSB, Hironobu Yoshimura berkata, majlis itu sebagai menghargai Chin Kok Fung yang menempah kenderaan pada penghujung November lalu.

Beliau berkata, Chin turut menerima Aksesori dan Barangan Honda bernilai RM4,000.

"Kami berbesar hati dalam melancarkan varian baharu untuk model Civic yang juga pertama kali diperkenalkan dengan trenkuasa 2.0L e:HEV untuk pasaran Malaysia.

"Chin adalah salah seorang daripada lebih 180 unit Civic e:HEV yang sudah kami serahkan kepada pelanggan dan menghargai atas sokongan dan kesabaran pelanggan demi memastikan produk yang berkualiti dihantar kepada mereka," katanya.

Turut hadir ketika sesi penyerahan kepada pemilik pertama Honda Civic e:HEV RS ialah Presiden dan Ketua Pegawai Operasi HMSB, Sarly Adle Sarkum dan Pengarah MH Prestige Auto, Ng Jit Hua.

Model itu dikuasakan enjin 1,993cc DOHC (Atkinson Cycle), dengan dwi elektrik motor yang dipadankan dengan Transmisi Bolehubah Berterusan Elektrik (e-CVT) dan Unit Kuasa Pintar (IPU) yang menjana kuasa 184PS dan Tork 315Nm.

Ia juga dilengkapi dengan Paparan Aliran Kuasa menerusi Paparan Audio Termaju bersaiz sembilan inci yang juga boleh dihubungkan dengan aplikasi Apple CarPlay.

Honda Civic e:HEV RS juuga dengan meter TFT bersaiz 10.2 inci serta pengecas tanpa wayar dan Kad Kunci sebagai antara teknologi terkini ditawarkan kepada pengguna.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM166,500 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 5:24 PM