PENGGUNAAN nama manja akan menyukarkan padanan nama dalam pangkalan data. FOTO Arkib NSTP
PENGGUNAAN nama manja akan menyukarkan padanan nama dalam pangkalan data. FOTO Arkib NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri

PENGGUNA diingatkan supaya tidak menggunakan nama manja seperti Superman, Boboi, dan Achik ketika mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kredit e-Penjana.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penggunaan nama akan menyukarkan padanan nama dalam pangkalan data.

"Berhati-hatilah dengan aplikasi palsu atau tidak rasmi. Pengguna juga mesti memuat turun aplikasi MySejahtera yang terkini. Versi aplikasi lama tidak boleh mendapat bantuan e-Penjana.

"Selain itu, penambahbaikan saringan telah dibuat dalam proses verifikasi dan kelulusan. Ini adalah ekoran beberapa cabaran yang dihadapi pemohon, terutamanya dari segi padanan nama dalam pangkalan data.

"Cuma, saya ingin mengingatkan agar jangan menggunakan nama manja seperti Superman, Boboi, dan Achik ketika mendaftar. 'Confirm' (pasti) tak dapat tu," katanya dalam perkongsian Laporan Laksana Ke-15 pelaksanaan Prihatin dan Penjana menerusi Facebook, hari ini.

Menurutnya, kerajaan melancarkan inisiatif e-Penjana bermula 31 Julai lalu dengan tujuan merangsang perniagaan runcit dan membudayakan pembayaran secara digital.

"Alhamdulillah, dalam tiga hari pertama e-Penjana, sehingga 2 Ogos 2020, lebih daripada 4.5 juta rakyat berjaya menerima RM50 dalam e-dompet mereka.

"Sejak e-Penjana diumumkan, bilangan pengguna MySejahtera yang berdaftar meningkat lebih daripada dua juta kepada 9.4 juta pengguna.

"Sebagai peringatan, e-Penjana boleh ditebus menggunakan salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu, Boost, GrabPay atau Touch 'n Go eWallet," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 3:05 PM