PENASIHAT jualan kereta Honda, Syefry Moniz Mohd Nizar (kanan) memberi penerangan kepada pelanggan, Azlan Mohamad Hamzah dan isteri, Nurul Hidayah Mohamed Misman.
PENASIHAT jualan kereta Honda, Syefry Moniz Mohd Nizar (kanan) memberi penerangan kepada pelanggan, Azlan Mohamad Hamzah dan isteri, Nurul Hidayah Mohamed Misman.
Oleh Lizam Ridzuan

PELAN Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) diumumkan kerajaan Jumaat lalu turut mendapat respons postif daripada pemain industri automotif di negara ini.

Melalui pelan pemulihan ekonomi itu, semua kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) akan dikecualikan daripada cukai jualan sepenuhnya.

Pengecualian cukai sama sebanyak 50 peratus pula bagi kereta penumpang yang diimport (CBU).

Ia bagi tempoh 15 Jun hingga 31 Disember depan bagi menggalakkan pertumbuhan industri automotif.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata, sememangnya langkah yang diambil kerajaan itu dilihat bertepatan.

Beliau menyokong sepenuhnya usaha membantu memulihkan industri automotif di negara ini.

"Namun, saya percaya ketika ini setiap jenama pengeluar kenderaan di negara ini membuat perincian dan perkiraan rapi untuk harga jualan terbaharu yang bakal diumumkan berkuat kuasa pada 15 Jun nanti.

"Selain itu, sejak pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia memberi kesan ekonomi terhadap individu, keluarga dan negara. Trend pengguna dilihat lebih berhati-hati dalam menguruskan tunai dan perbelanjaan,

"Dengan adanya inisiatif seperti ini, ia sedikit sebanyak membolehkan usaha jualan kenderaan kembali pulih dan mereka boleh memiliki kenderaan pada harga yang lebih berbaloi," katanya kepada Harian Metro.

UMWT Motor sebagai pengedar utama kenderaan Toyota di negara ini turut menyambut baik inisiatif itu sebagai satu usaha positif kerajaan selepas industri terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

Presidennya, Ravindran K berkata, langkah penjimatan harga yang lebih baik boleh ditawarkan kepada pengguna melalui jangkaan penurunan harga model Toyota di negara ini.

"Kami juga sedang membuat penyesuaian yang relevan dengan harga runcit dan akan melaksanakannya pada 15 Jun ini," katanya, semalam.

Ia juga termasuk model-model baharu daripada Toyota yang bakal dilancarkan ke dalam pasaran negara ini juga akan diselaraskan dengan harga terbaharu itu.

Penganalisis Automotif Tempatan daripada portal Funtasticko.net Shamsul Yunos berkata, inisiatif ini dilihat baik dalam menjana jualan kenderaan di negara ini.

Beliau berkata, ia dalam usaha mencapai sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) iaitu minimum 500,000 unit pada 2020.

"Saya menjangkakan segmen kenderaan pertengahan dalam segmen-C akan terkesan kerana kemungkinan ramai pembeli akan beralih kepada segmen-B untuk lebih berhati-hati dalam pembelian dan aliran tunai mereka," katanya.

Kenderaan penumpang di bawah harga RM120,000 dilihat mempunyai kelebihan dan kepada pengeluar yang memiliki model-model segmen itu berpotensi menjana jualan selain segmen kenderaan mewah.

Sementara itu, beberapa jenama kenderaan lain seperti Proton, Honda dan Ford juga sedang dalam perbincangan mengenai harga baharu kenderaan mereka dan akan diumumkan sedikit masa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 7:30 AM