Tony (tiga dri kiri) dan Tengku Zafrul (empat dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pelaburan antara ADE dan OCP Asia. - FOTO Saifullizan Tamadi
Tony (tiga dri kiri) dan Tengku Zafrul (empat dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pelaburan antara ADE dan OCP Asia. - FOTO Saifullizan Tamadi
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat Capital A Berhad bagi kejuruteraan dan baik pulih pesawat, menerima pelaburan berjumlah AS$100 juta (RM445.60 juta) daripada OCP Asia Ltd, penyedia penyelesaian kewangan perusahaan di rantau Asia Pasifik yang berpangkalan di Hong Kong.

Pelaburan itu akan digunakan untuk pembangunan serta pengoperasian kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat ADE di Sepang, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pelaburan itu juga akan diperuntukkan ADE untuk mengembangkan perniagaannya ke pasaran luar negara, menunjukkan komitmen syarikat itu untuk mencapai pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang.

Katanya, semasa proses penjanaan modalnya, ADE sudah menerima sokongan yang kuat daripada pelbagai badan dana pelaburan global yang telah melihat potensi pemulihan industri penerbangan serantau dan global.

"Bagi pihak Capital A, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ADE di atas kejayaan ini.

"Pelaburan ini membuktikan strategi Capital A dalam mempelbagaikan perniagaan kami untuk menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan.

"Kami kini telah menubuhkan kumpulan syarikat penerbangan, perkhidmatan penerbangan, syarikat digital dan logistik yang hebat dengan peningkatan yang luar biasa dan kini setelah Covid-19 berakhir, pelabur dan pasaran awam sudah merealisasikan potensi besar Capital A.

"Pelaburan AS$100 juta ini mencukupi untuk membiayai rancangan pengembangan ADE dan pelaburan ini juga menunjukkan keyakinan kukuh pelabur asing terhadap pertumbuhan masa depan syarikat," katanya di majlis menandatangani perjanjian pelaburan antara ADE dan OCP Asia di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Miti), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pihaknya yakin ADE akan meneruskan legasi kejayaan AirAsia, mengembangkan tawaran perkhidmatan dan memperkukuh kedudukannya di dalam industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serantau dan dunia.

"Kerajaan komited dalam menyokong pertumbuhan industri penerbangan dan kami akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan dan pelaburan.

"Saya amat berbesar hati untuk melihat Malaysia terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing serta menawarkan pelbagai kisah kejayaan usahawan tempatan," katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, pihaknya teruja untuk memperoleh sokongan penting ini daripada pihak OCP Asia yang mempunyai pengalaman pelaburan yang luas merentasi pelbagai industri di seluruh Asia Pasifik.

Katanya, pelaburan daripada OCP Asia ini akan membolehkan ADE membina kemudahan hangar penyelenggaraan pesawat 14 baris yang baharu dan tercanggih di Sepang selain kemudahan sedia ada di hab operasi teras AirAsia, menjadikan ADE sebagai salah satu perkhidmatan MRO pesawat terbesar di rantau ini.

"Fasa pertama pembinaan kemudahan baharu itu dijangka siap pada suku kedua tahun depan dan fasa kedua dijangka siap pada suku ketiga tahun depan.

"Kami berterima kasih atas sokongan yang ditunjukkan oleh OCP Asia dan mengharapkan kerjasama yang berjaya dan kepada Broadgate Advisers yang bertindak sebagai penasihat kewangan kami sepanjang latihan pengumpulan dana ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 4:48 PM