THONG (kiri) bersama Pegawai Pemasarannya, Adyana Radzuan pada pelancaran Egg-citing Giler menu terbaru di restoran Kenny Rogers Roasters.
THONG (kiri) bersama Pegawai Pemasarannya, Adyana Radzuan pada pelancaran Egg-citing Giler menu terbaru di restoran Kenny Rogers Roasters.
Nabil Basaruddin


BERJAYA Roasters (M) Sdn Bhd, pengendali rangkaian restoran Kenny Rogers Roasters (KRR) merancang membuka 10 cawangan baharu pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020.

Pengurus Pemasaran Kesetiaan dan Rakan Kongsinya, Kennie Thong berkata, setakat ini tiga cawangan baharu sudah beroperasi di sekitar Lembah Klang dan tujuh cawangan lagi akan dibuka secara berperingkat di beberapa lokasi utama.

“Terdapat 83 cawangan restoran KRR di seluruh negara ketika ini yang menawarkan produk serta perkhidmatan ayam panggang kepada orang ramai.

“Malah, pelbagai usaha juga dilakukan bagi mempromosi jenama itu seperti memperkenalkan tiga hingga lima jenis hidangan baharu kepada pelanggan dalam tempoh setahun.

“Sebagai pengendali restoran, kami sentiasa mahu menyediakan hidangan ayam panggang yang berkualiti tinggi serta memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran menu baharu, Eggstra-Sedap Salted Egg Chicken di sini, semalam.

Thong berkata, dalam menembusi pelbagai segmen pasaran pelanggan, restoran itu turut tampil dengan empat konsep berbeza bagi memenuhi keperluan di pelbagai lokasi.

Katanya, konsep itu antaranya adalah seperti makan di restoran, pandu lalu, Grab and Go serta pesan dan ambil yang direka khusus untuk menepati gaya hidup rakyat Malaysia yang bergerak pantas.

“Konsep yang berbeza ini dipraktikan mengikut kesesuaian lokasi serta permintaan sama ada di pusat beli-belah, stesen minyak atau sepanjang lebuh raya,” katanya.

Selain itu, restoran itu juga baru-baru ini memperkenalkan restoran pandu lalu pertama di Juru, Pulau Pinang yang menawarkan hidangan ayam panggang yang sihat dan cepat.

Mengulas mengenai produk baharunya, Thong berkata, hidangan Eggstra-Sedap Salted Egg Chicken adalah menu edisi terhad yang mula ditawarkan bermula 5 Ogos sehingga 20 Oktober ini.

“Set hidangan ayam panggang baharu ini dijual pada harga bermula RM25.90 hingga RM95 bergantung kepada jenis hidangan atau set yang dipilih.

“Malah, bersama dengan set hidangan itu, kami turut memperkenalkan minuman Triple Passion yang mempunyai gabungan buah jambu batu, markisa dan mangga hanya pada harga RM10.50 untuk ala carte atau RM8.50 bersama set,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 11:39 AM