Nabil Basaruddin


KUALA LUMPUR: Pembinaan bangunan Projek Menara Warisan Merdeka 118 atau lebih dikenali sebagai PNB118 kini berada pada landasan tepat untuk disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan.

Pencakar langit itu juga bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara apabila ia siap pada awal 2021 di samping mempunyai peranan dalam merangsang ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, projek pembinaan bangunan setinggi 118 tingkat yang ketika ini sudah sampai aras ke-75.

“Kami juga menjangkakan projek pembinaan PNB 118 akan mencecah setinggi antara aras 80 hingga 90 menjelang akhir tahun ini,” katanya pada sidang media pada taklimat separuh pertama prestasi PNB di sini.

PNB 118 dibangunkan di kawasan Stadium Merdeka seluas 5.6 hektar.

Menara itu yang terdiri daripada 118 tingkat itu merangkumi 83 tingkat untuk ruang pejabat, 16 tingkat untuk hotel mewah, tiga tingkat dek pemerhatian dan 16 tingkat ruang kemudahan dan lobi langit.

Selain PNB118, pengurus dana terbesar di Malaysia itu juga mempunyai projek PNB 1194 iaitu projek pembangunan di atas bekas ibu pejabat Malaysia Airlines Bhd di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur yang dijangka siap pada 2021.

PNB 118 dibangunkan di kawasan Stadium Merdeka seluas 5.6 hektar.
PNB 118 dibangunkan di kawasan Stadium Merdeka seluas 5.6 hektar.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, PNB juga tidak lagi akan menjadi pemaju hartanah selepas selesainya projek PNB 118 dan PNB 1194.

Beliau berkata, visi PNB adalah sangat jelas dan selepas projek PNB 118 dan PNB 1194 selesai, syarikat tidak akan lagi berhasrat menjadi pemaju hartanah.

“Kami memiliki simpanan tanah dan apabila ia matang, rancangannya adalah untuk menjana wang daripadanya dan dijual kepada pemaju hartanah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman berkata, jumlah portfolio hartanah syarikat itu secara kasarnya bernilai RM8 bilion termasuk simpanan tanah besarnya dan hartanah di luar negara iaitu di London, United Kingdom.

“Di bawah cabaran dalam pasaran hartanah, kami berusaha untuk mengimbangi semula portfolio hartanah domestik kami,” katanya.

Katanya, PNB juga merancang untuk menjana wang daripada simpanan tanah tempatannya seluas 3,642.17 hektar dengan menjual tanah berkenaan kepada pemaju.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 9:18 AM