PROTON Exora Baharu 2019. FOTO Faiz Anuar
PROTON Exora Baharu 2019. FOTO Faiz Anuar
Hazwan Faisal Mohamad


SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan model facelift kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora 2019. Harga jualan bermula dari RM59,800 untuk varian Executive 1.6T CVT dan RM66,800 untuk Premium 1.6T CVT tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, harga yang ditawarkan untuk model 2019 ini adalah lebih murah berbanding model sebelumnya dengan pengurangan harga sehingga RM2,547.

“Kedua-duanya didatangkan dengan pakej servis selama lima tahun termasuk tiga kali kos upah percuma dan pakej data percuma satu gigabait sebulan selama lima tahun.

“Selain itu, Proton juga menawarkan kadar faedah rendah bermula dari 2.76 peratus dan pakej perlindungan insurans percuma,” katanya.

Menurutnya, antara kelainan dan pembaharuan yang ditampilkan pada model ini ialah sistem infotainmen yang sama dengan model X70, Persona 2019 dan Iriz 2019.

Sistem ini menawarkan aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara yang boleh diakses melalui skrin sentuh tujuh inci dengan paparan warna penuh serta memori dalaman sebanyak 16GB.

Untuk kemudahan tambahan, sistem ini juga mempunyai kemampuan pencerminan bagi telefon pintar Android.

Aplikasi pengecaman suara diaktifkan melalui kata kunci Hi Proton! di mana kemudian, pengguna boleh mengakses pelbagai pilihan yang ada menggunakan arahan suara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 8:31 AM