TENGKU Syed Badarudin (kiri) melancarkan barisan Pengisian Dingin Aseptik di kilang F&N Shah Alam, September lalu.
TENGKU Syed Badarudin (kiri) melancarkan barisan Pengisian Dingin Aseptik di kilang F&N Shah Alam, September lalu.
Azzman Abdul Jamal


Kuala Lumpur: Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) akan terus memberi tumpuan memastikan pertumbuhan berterusan dan mampan dalam segmen eksport makanan dan minuman (F&B).

Pengerusinya Tengku Syed Badarudin Jamalullail berkata, syarikat itu meneruskan usaha pengukuhannya dengan mengenal pasti pemacu pertumbuhan dalam negara dan bersedia untuk lebih berdaya tahan ketika pasaran tidak menentu selain cabaran perniagaan.

“Pendek kata, kami membuat persiapan untuk merebut peluang hari esok,” katanya dalam Laporan Tahunan Syarikat 2018 yang dikeluarkan.

F&N berkata, pasaran F&B Malaysia secara menyeluruh masih menghadapi laluan sukar dengan syarikat itu menjangkakan berhadapan tekanan harga kompetitif, pergerakan mata wang yang turun naik serta harga komoditi tidak menentu yang dijangkakan berterusan pada 2019.

“Bagaimanapun inovasi dan penciptaan semula akan menjadi barisan hadapan perniagaan untuk memastikan syarikat memenuhi jangkaan pengguna bagi menghasilkan produk yang sihat dan sedap pada harga mampu milik.

“Kami akan memberi keutamaan kepada pengekstrakan sinergi daripada program transformasi kami dan meningkatkan usaha untuk mengembangkan jangkauan global kami untuk pasaran eksport dan penyelidikan dan pembangunan pantas untuk merumuskan serta memperkenalkan banyak pilihan sihat dalam tahun kewangan 2019,” katanya.

F&N berkata, ia akan memantau dengan teliti impak dan mengambil tindakan tepat untuk mengenakan duti eksais ke atas minuman siap yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Bagi F&B Thailand, F&N menjangkakan kedudukan domestik secara menyeluruh akan terus mencabar dan mungkin mula membayar cukai korporat tahun depan selepas penggunaan kerugian dibawa dari perniagaan yang tidak dipromosikan.

“Bagaimanapun, kami akan terus membangunkan kapasiti untuk meningkatkan daya saing menerusi pembangunan jenama, mengembangkan rangkaian pengedaran untuk meningkatkan jangkauan produk selain engembangkan lagi rangkaian penjaja setia kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 2:46 PM